SEPANG - Helah sorok bunga ganja dalam kotak permainan kanak-kanak terbongkar dalam rampasan di Cawangan Pusat Mel dan Kurier Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Rampasan dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA, 13 Julai lalu.
Pengarah Kastam KLIA, Aspalila AG Tuah berkata, empat bungkusan kotak telah dirampas dan pemeriksaan menemui bungkusan plastik lut sinar kedap udara mengandungi 12.675 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM1.01 juta yang disorokkan dalam kotak permainan kanak-kanak.
"Semakan mendapati nombor telefon di paparan kotak gagal dihubungi selain alamat pengirim serta penerima adalah palsu," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo KLIA di sini pada Khamis.
Tambahnya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti dari mana bahan terlarang itu dibawa masuk selain mengesan individu terlibat.
Dalam kes berlainan, dua bagasi yang ditinggalkan di Pejabat Lost & Found Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1 KLIA selama sebulan sebelum diperiksa pada 14 Julai lalu membongkar kandungan berisi dadah jenis bunga ganja bernilai RM3.82 juta.
Aspalila berkata, semakan mendapati dua bagasi itu dijadualkan untuk dibawa menaiki penerbangan ke Langkawi, namun telah ditinggalkan penumpang terbabit.
"Imbasan bagasi kemudian telah dilakukan dan mengesan imej mencurigakan sebelum pemeriksaan rapi dibuat.
"Pemeriksaan oleh Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA menemukan plastik kedap udara mengandungi bunga ganja seberat 47.8 kg," katanya.
Jelasnya, kes masih dalam siasatan termasuk memanggil syarikat penerbangan untuk membantu mengesan pemilik bagasi.
Kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.