Seludup rokok, tapi ikrar barang kelengkapan tidur, selipar

Iklan
Aspalila (tiga dari kanan) menunjukkan rampasan rokok putih dalam sidang akhbar pada Khamis.

SEPANG - Cubaan menyeludup masuk rokok bernilai RM1.34 juta dengan mengisytihar sebagai kelengkapan tempat tidur serta selipar digagalkan dalam dua serbuan berasingan di Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini baru-baru ini.

Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) KLIA.

Iklan
Iklan

Pengarah Kastam KLIA, Aspalila AG Tuah berkata, bagi kes pertama pada 29 Julai, pemeriksaan ke atas sebuah gudang di zon perdagangan bebas tersebut menemukan 410,000 batang rokok putih bernilai RM392,752 termasuk duti dan cukai disyaki tidak berkastam.

"Dipercayai rokok ini dibawa masuk dari sebuah negara di Asia Barat sebelum dipasarkan untuk pasaran tempatan.

Iklan

"Modus operandi kes tersebut ialah dagangan diikrar sebagai 'garments bed linen' (pakaian dan kelengkapan tidur) bagi mengelak dikesan pihak berkuasa serta dikenakan permit import," katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo KLIA di sini pada Khamis.

Antara rokok putih yang dirampas JKDM KLIA.

Iklan

Beliau berkata, syarikat pengendali penghantaran barang dagangan telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Sementara itu, bagi kes kedua, JKDM KLIA merampas 1.12 juta batang rokok putih bernilai RM948,640 termasuk duti dan cukai pada 30 Julai lalu.

Aspalila berkata, siasatan mendapati rokok tersebut tiba di Malaysia dari sebuah negara di Asia untuk tujuan transit.

"Dipercayai rokok terbabit akan dihantar ke salah sebuah negara di rantau Ocenia.

"Bagi kes ini, dagangan diikrar sebagai 'slippers' bagi mengelak untuk dikesan pihak berkuasa serta mengelak daripada dikenakan permit import," ujarnya.

Kes masing-masing disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 35D(2) akta sama.

Justeru, Aspalila menggesa orang awam memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat.