JPJ arah penganjur RXZ Members sediakan platform pendaftaran peserta dalam talian, lampir gambar motosikal

Iklan
Sesi libat urus JPJ bersama penganjur RXZ Members di Ibu Pejabat JPJ Putrajaya pada Rabu. Foto: JPJ

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Penganjur RXZ Members diarahkan untuk menyediakan platform pendaftaran peserta secara dalam talian dengan mewajibkan beberapa syarat bagi memastikan aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang diberi keutamaan.

Itu antara perkara yang diberi penekanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semasa sesi libat urus bersama penganjur RXZ Members yang dipengerusikan Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan di Bahagian Penguat Kuasa, Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya pada Rabu.

Iklan
Iklan

Muhammad Kifli berkata, peserta mesti mempunyai lesen memandu yang sah selain motosikal mesti mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans yang masih berkuat kuasa.

"Peserta juga perlu melampirkan empat gambar motosikal yang didaftarkan iaitu gambar bahagian depan dan belakang nombor pendaftaran kenderaan dan gambar sisi kiri serta kanan motosikal," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Menurut beliau, turut diberi penekanan oleh JPJ ialah keperluan melaksanakan pengurusan risiko secara lebih sistematik sebelum, semasa dan selepas acara.

"Selain itu, kerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam pelaksanaan Travel Time Advisory (TTA) membantu melancarkan aliran trafik dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, JPJ turut mengesyorkan pendekatan berperingkat melalui libat urus awal, pendidikan dan kesedaran, disusuli tindakan penguatkuasaan tegas apabila perlu.

Jelas Muhammad Kifli, JPJ sentiasa menyokong aktiviti komuniti permotoran yang dilaksanakan secara teratur dan bertanggungjawab.

"Pada masa sama, keselamatan awam, pematuhan undang-undang dan perlindungan nyawa pengguna jalan raya akan terus menjadi keutamaan.

"JPJ juga akan mengadakan sesi libat urus bersama agensi-agensi berkaitan dan pihak penganjur pada masa akan datang," ujarnya.

Sesi libat urus itu turut dihadiri Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).