Perjuangan hapus judi di Kedah tidak bernoktah - Pas Kedah
Iklan
Ahmad Yahaya. Foto: Pas Kedah
ALOR SETAR - Pas Kedah menegaskan perjuangan untuk menghapuskan kegiatan perjudian di negeri ini tidak akan terhenti susulan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung isu lesen premis perjudian.
Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknya akur dengan keputusan mahkamah itu, namun menzahirkan rasa dukacita kerana keputusan berkenaan turut dilihat mengecewakan rakyat negeri ini.
Iklan
Iklan
Menurut beliau, Pas Kedah akan terus mempertahankan prinsip mencegah kemudaratan dalam masyarakat dan menyokong sebarang tindakan susulan yang wajar diambil kerajaan negeri selepas keputusan Mahkamah Persekutuan itu.
"Sangat ironi apabila langkah kerajaan negeri mengamalkan prinsip mencegah kemudaratan dalam masyarakat dibantah oleh pihak tertentu sehingga mereka sanggup membawa kes ini ke mahkamah sejak awal lagi.
Iklan
"Inilah yang amat dikesali. Bagaimana ada pihak yang masih tegar mempertahankan aktiviti perjudian dalam negeri meskipun usaha kerajaan menutup keseluruhan premis telah dilaksanakan mengikut garis perundangan yang ada," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Media melaporkan, Mahkamah Persekutuan pada Rabu mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan arahan Kerajaan Kedah adalah ultra vires (di luar bidang kuasa) serta tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Iklan
Pada 12 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menerusi keputusan majoriti 2-1 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati arahan Kerajaan Kedah untuk tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan perjudian adalah tidak berperlembagaan.
Dalam prosiding pada Rabu, panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan sebulat suara serta memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000.
Ketika menyampaikan keputusan itu, Rhodzariah berkata, Kerajaan Kedah gagal memenuhi syarat ambang di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi membolehkan kebenaran merayu diberikan.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, parti itu akan terus mempertahankan prinsip amar makruf nahi mungkar dalam aspek pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau berkata, pihaknya memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan Kedah terhadap apa jua tindakan susulan yang wajar diambil selepas pendirian Mahkamah Persekutuan berkenaan.
"Insya-ALLAH, perjuangan ini tidak akan bertemu titik noktah di sini," ujarnya.
Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan tidak meneruskan pemberian lesen premis operasi perjudian di Kedah berkuat kuasa 1 Januari 2023 berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 Disember 2021.
Namun, keputusan Mahkamah Persekutuan itu bermakna keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan dasar sifar judi Kedah pada Jun 2024 kekal berkuat kuasa.
Kegiatan itu terbongkar menerusi serbuan Ops Tiris 4.0 Bersepadu oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang terhadap tiga premis berasingan pada malam Selasa.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/791731/edisi/utara/seleweng-minyak-peket-bersubsidi-proses-jadi-minyak-terpakai
Muzik: Elevate dari www.bensound.com
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.