KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh individu termasuk empat penjawat awam kerana disyaki terbabit sindiket import ayam sejuk beku tidak sah di Sabah melibatkan elemen rasuah pegawai pihak berkuasa sebuah pelabuhan di negeri itu.
Sumber memaklumkan tujuh individu terbabit direman hingga 15 Ogos selepas Majistret Marilyn Kelvin membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pagi tadi.
"Ops Chick oleh Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah serta Kastam Sabah semalam telah menyita 10 kontena ayam sejuk beku diimport dari China dan Poland secara tidak sah,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.
Semalam, media melaporkan SPRM menumpaskan sindiket import ayam sejuk beku tidak sah di Sabah dan menahan tiga lelaki berusia 30-an hingga 50-an yang dipercayai berperanan sebagai ejen penghantaran serta pengurus syarikat.
Berdasarkan siasatan awal, kontena berisi ayam itu diisytiharkan secara tidak benar dan tidak melalui proses pemeriksaan yang ditetapkan.