Mahkamah benar rayuan firma guaman UK ketepi keputusan saman 1MDB didengar di Malaysia

Iklan
Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan firma guamanUK, White & Case LLP, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman difailkan 1MDB berhubung dakwaan penipuan, didengar di Malaysia.

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuan firma guaman United Kingdom (UK), White & Case LLP, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan saman difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berhubung dakwaan penipuan, didengar di Malaysia.

Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Alwi Abdul Wahab, bersidang bersama-sama K. Muniandy dan Datuk Aliza Sulaiman, memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman 1MDB terhadap firma guaman berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Muniandy berkata, panel itu mendapati syarat di bawah Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bagi penyampaian prosiding di luar Malaysia tidak dipenuhi.

"Responden (1MDB) gagal membuktikan bahawa Malaysia jelas merupakan forum yang sesuai untuk mendengar saman ini,” katanya.

Iklan

Muniandy berkata Patrick Mahony, pengarah PetroSaudi International Ltd, merupakan warga asing yang menetap di luar Malaysia dan oleh itu tidak boleh dijadikan"defendan sandaran” yang sewajarnya bagi membolehkan penyampaian prosiding di luar bidang kuasa.

Panel itu turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menggabungkan saman 1MDB terhadap White & Case dengan satu lagi saman berasingan yang difailkan dana kekayaan negara itu terhadap beberapa defendan lain, termasuk Deutsche Bank dan PetroSaudi International.

Iklan

"Kami bersetuju dengan perayu bahawa permohonan responden untuk menggabungkan saman itu jelas merupakan satu langkah taktikal,” kata Muniandy.

Mahkamah memerintahkan 1MDB membayar kos sebanyak RM130,000 kepada White & Case.

Sementara itu, peguam 1MDB, Datuk Lim Chee Wee memaklumkan kepada panel bahawa beliau telah menerima arahan daripada anak guamnya untuk memohon kebenaran merayu terhadap keputusan hari ini di Mahkamah Persekutuan.

1MDB memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2024 dengan menuntut kerugian berjumlah AS$1.83 bilion dan AS$33 juta daripada White & Case dan Mahony.

1MDB mendakwa White & Case membantu PetroSaudi melakukan penipuan dan berkomplot untuk memudaratkan 1MDB ketika bertindak sebagai penasihat undang-undangnya.

Dakwaan salah laku itu berkaitan dua urus niaga korporat, iaitu usaha sama dengan PetroSaudi International pada 2009 yang dikenali sebagai fasa Good Star, serta penstrukturan semula kepentingan 1MDB dalam usaha sama berkenaan pada 2010, yang didakwa 1MDB mengakibatkan kerugian kewangan yang besar.

Writ saman itu disampaikan kepada White & Case di pejabatnya di United Kingdom, di luar bidang kuasa mahkamah Malaysia, sebelum firma berkenaan memohon supaya penyampaian itu diketepikan serta mendapatkan deklarasi bahawa mahkamah Malaysia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar saman tersebut.

Tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak bantahan White & Case dan memutuskan bahawa mahkamah itu boleh mendengar saman berkenaan kerana saksi perbicaraan berada di Malaysia. Firma guaman itu kemudian merayu keputusan tersebut ke Mahkamah Rayuan.

White & Case turut merayu satu lagi keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan saman itu digabungkan dengan saman berasingan yang difailkan 1MDB terhadap beberapa defendan lain, termasuk Deutsche Bank dan PetroSaudi International.

Pada prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini, peguam Datuk Cyrus Das mewakili firma berkenaan. - Bernama