Najib bantah 80 peratus pernyataan saksi bekas CEO 1MDB atas alasan keterangan dengar cakap

Iklan
Najib Razak

KUALA LUMPUR - Kira-kira 80 peratus daripada pernyataan saksi setebal 168 muka surat oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dibantah atas alasan mengandungi keterangan dengar cakap atau hearsay.

Bantahan itu dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan defendan pertama dalam saman sivil AS$5.64 bilion yang difailkan 1MDB terhadap beliau dan enam individu lain.

Iklan
Iklan

Peguam 1MDB, Lee Shih memaklumkan perkara itu kepada Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Mohamad Redzuan Idrus.

"Yang Arif, pagi ini, pihak-pihak telah diserahkan dengan bantahan berhubung pernyataan saksi Shahrol Azral dengan 80 peratus daripada kandungannya dibantah atas alasan hearsay.

Iklan

"Sehubungan dengan itu, kami memerlukan masa untuk menelitinya. Shahrol Azral bersedia untuk memberikan keterangan bermula esok," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan itu dan perbicaraan akan diteruskan esok.

Iklan

Terdahulu, saksi plaintif ketiga, pakar pemulihan aset luar pesisir Angela Barkhouse dilepaskan daripada kandang saksi hari ini selepas selesai memberikan keterangannya yang bermula pada Isnin lepas.

1MDB dan anak syarikatnya - 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited, yang dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited - memfailkan saman sivil itu pada 7 Mei 2021.

Mereka menamakan Najib, bekas Pengarah Kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng, bekas Pengarah Eksekutif Casey Tang Keng Chee, bekas Ketua Pegawai Pelaburan Vincent Beng Huat Koh, bekas Ketua Pegawai Operasi Radhi Mohamad, bekas Pengarah Pelaburan Kelvin Tan Kay Jim dan bekas Ketua Pegawai Pelaburan Nik Faisal Ariff Kamil, sebagai defendan.

Menurut writ saman itu, plaintif antara lain mendakwa defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan berkanun, menyalahgunakan kuasa serta berpakat untuk menyalahgunakan dana 1MDB. - Bernama