PUTRAJAYA - Aktiviti sukan, kokurikulum dan kegiatan fizikal lasak di luar bangunan disarankan ditangguhkan atau dipindahkan ke dalam bangunan yang sesuai sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di sesuatu kawasan melebihi 100.
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan pihak swasta perlu sentiasa memantau bacaan IPU semasa serta menyesuaikan aktiviti luar mengikut tahap kualiti udara.
"Orang ramai juga disaran mengurangkan berada di luar bangunan serta menggunakan pelitup muka yang sesuai sekiranya perlu berada di luar," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
KKM turut menasihatkan masyarakat supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara dan meningkatkan risiko kesihatan akibat jerebu.
Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan menutup tingkap dan pintu bagi mengurangkan kemasukan udara tercemar serta elakkan aktiviti yang meningkatkan pencemaran udara dalaman termasuk merokok.
Orang ramai juga disaran menggunakan mod kitaran semula udara dalaman pada sistem penyaman udara ketika memandu serta menggunakan alat penapis udara di rumah jika berkemampuan.
Selain itu, masyarakat perlu minum air secukupnya bagi memastikan badan kekal terhidrat, serta memberi perhatian dan perlindungan khusus kepada golongan berisiko termasuk kanak-kanak, warga emas serta individu yang menghidap penyakit kronik dengan mengurangkan pendedahan mereka kepada jerebu.
"Segera dapatkan rawatan sekiranya mengalami sesak nafas, batuk berpanjangan, atau gejala lain yang semakin teruk," ujar KKM.
Terdahulu, 13 kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat atau lebih buruk, dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian menjadi satu-satunya kawasan yang mencapai tahap sangat tidak sihat iaitu 202 setakat jam 2 petang.
Ia diikuti Samarahan (177), Sarikei (161), Sri Aman (158), Bintulu (155), Miri (152), Sibu (141) dan Samalaju (132) di Sarawak.
Turut terkesan ialah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya yang merekodkan bacaan 125, Cheras (122), Shah Alam (109) dan Kuala Selangor (104).
Data IPU dikemas kini setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat dan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Sementara itu, KKM memaklumkan pihaknya telah memperkukuh survelan penyakit berkaitan jerebu di fasiliti kesihatan bagi memantau sebarang peningkatan kes dan mengesan perubahan trend penyakit berkaitan jerebu.
"Kesiapsiagaan fasiliti kesihatan, bekalan ubat-ubatan, dan anggota kesihatan turut dipertingkatkan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat diberikan dengan sewajarnya," kata kementerian itu.
KKM juga akan terus bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta agensi berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri bagi memantau perkembangan situasi dan menyelaras tindakan untuk mengurangkan kesan jerebu terhadap kesihatan awam.