[VIDEO] Kanak-kanak 10 tahun dikerah jaga kedai runcit di tapak pembinaan

Iklan

MELAKA - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun memberi alasan terpaksa menguruskan sebuah kedai runcit di rumah kongsi dalam tapak pembinaan di Bukit Beruang Ayer Keroh, di sini selepas ibunya pulang ke Indonesia sejak lima hari lalu.

Tindakan itu bukan sahaja melanggar peraturan, malah boleh membahayakan keselamatan kanak-kanak berkenaan apabila tinggal di kawasan tapak pembinaan.

Iklan
Iklan

Kanak-kanak yang dikenali sebagai Danish itu ditemui ketika operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Rabu.

Danish berkata, dia menjaga kedai runcit berkenaan dibantu seorang wanita Indonesia, Faridah, 58, yang dipanggilnya 'nenek' sementara menunggu ibunya kembali ke Malaysia.

Iklan

"Ibu pulang ke Indonesia kerana ada urusan, jadi saya jaga sementara kedai runcit dari jam 10 pagi hingga 11 pagi ketika nenek pergi bekerja.

"Kemudian saya duduk dalam bilik dan mengikuti kelas secara dalam talian," katanya ketika ditemui.

Iklan

Dia mendakwa sudah hampir dua tahun berada di Malaysia selepas datang menaiki kapal terbang, namun pemeriksaan mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

Dalam pada itu, kedai runcit tersebut mempunyai empat bilik yang dijadikan tempat tinggal kanak-kanak berkenaan.

Bahagian luarannya kelihatan seperti rumah kongsi biasa, namun bahagian dalamnya ibarat sebuah apartmen dengan kemudahan serba lengkap termasuk dapur, mesin basuh, katil, komputer dengan capaian internet dan pendingin hawa.

Bilik dihuni Danish terdapat komputer yang digunakan untuk ikuti kelas secara dalam talian.

Dalam operasi berkenaan, seramai 22 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Danish turut mendakwa, sepanjang tinggal di tapak pembinaan berkenaan, dia pernah mengalami kecederaan seperti terkena barang yang dibaling dari atas kawasan kerja itu.

Sementara itu, dalam operasi kedua di Paya Ikan, Bukit Baru, aktiviti pekerja asing yang sedang menikmati makan tengah hari terbantut selepas diserbu penguat kuasa.

Operasi berkenaan membawa kepada penahanan 39 warga asing terdiri daripada tujuh warga Indonesia, tiga Pakistan, 27 Bangladesh dan dua Myanmar, berusia antara 28 hingga 35 tahun.

Kesemua mereka ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155], selain melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39(b) dan Peraturan 15(1)(c) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.