TANJUNG MALIM - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di Jalan Persekutuan Trolak Pekan, Slim River pada Ahad.
Dalam kejadian dilaporkan jam 12.08 tengah malam itu, mangsa berusia 29 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, berdasarkan maklumat awal, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Gen2.
Menurutnya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River yang digerakkan ke lokasi mendapati, terdapat dua mangsa dalam kenderaan itu dengan pemandu dilaporkan tersepit.
"Anggota bomba menjalankan operasi dengan melakukan penilaian awal sebelum mengaplikasikan konsep SAVER bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan menggunakan pengusung.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, penumpang berusia 22 tahun mengalami cedera ringan dan telah diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM.
Operasi yang melibatkan lima anggota bersama satu jentera FRT dan satu EMRS itu amat sepenuhnya pada jam 1.08 pagi.