KOTA BHARU - Malaysia memilih saluran diplomatik dengan Thailand dalam menyelesaikan isu-isu melibatkan jenayah rentas sempadan antara kedua-dua negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu keselamatan sempadan Malaysia-Thailand sentiasa berada dalam radar kerajaan menerusi kerjasama di peringkat kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan polis dengan polis (P2P).
Ujar beliau, Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Sempadan antara Malaysia dan Thailand mengadakan pertemuan sebanyak dua kali setahun sebagai mekanisme tadbir urus dan kerjasama di peringkat G2G.
Sebelum itu beliau bersama Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengadakan lawatan ke rumah balu Allahyarham Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim yang terkena renjatan elektrik iaitu Fatimah Syaera Zahrul Saharudin, 28, serta anak mereka, Hariz Idraqi, 2, di Kampung Hutan Pasir, Ketereh di sini.
Menurut beliau, kerjasama P2P pula membabitkan semua negeri yang bersempadan dengan Thailand iaitu Perlis, Kedah dan Kelantan.
Tambahnya, kerjasama polis antara kedua-dua negara lazimnya meliputi perkongsian risikan, pembangunan kapasiti serta operasi bersama jika diperlukan.
"P2P juga mereka sentiasa mengadakan perbincangan dan kerjasama. Semualah, kerjasama polis ni biasanya melibatkan tiga perkara iaitu intelligence sharing, capacity building, dan juga joint operation jika perlu," katanya.
Beliau memberitahu, isu berkaitan keselamatan sempadan turut dibincangkan dalam pertemuan rasmi antara beliau dengan rakan sejawatnya dari Thailand ketika lawatan rasmi Perdana Menteri negara itu baru-baru ini.
Jelasnya, Malaysia memahami bahawa pengurusan kawasan sempadan amat sensitif kerana membabitkan kedaulatan dua negara, pergerakan rakyat kedua-dua negara serta elemen jenayah rentas sempadan.
"Jadi apa saja perkara, kita faham menguruskan kawasan sempadan ini sangat sensitif.
"Ia melibatkan kedaulatan dan pergerakan rakyat dua negara termasuk elemen-elemen jenayah rentas sempadan.
Menurut beliau, sebarang isu berkaitan tidak seharusnya diselesaikan menerusi kenyataan media yang saling berbalas, sebaliknya melalui saluran rasmi yang bersesuaian dengan hubungan kedua-dua negara sebagai jiran.
"Iaitu, kita tak selesai melalui kenyataan media berbalas-balas. Kita selesai melalui platform, forum yang sesuai dengan tertib negara berjiran," katanya.