KOTA BHARU - Pesara penjara menuntut kerajaan memberi perhatian serius terhadap kebajikan mereka termasuk menyediakan geran tahunan bagi membantu membeli nasib golongan itu.
Presiden Persatuan Bekas Pegawai Penjara Malaysia (Expoam), Ismail Mohd Khalil berkata, anggota penjara juga merupakan sebahagian daripada cabang perkhidmatan bidang keselamatan negara yang bertanggungjawab menyelia banduan serta berdepan cabaran berat dalam penugasan harian.
“Kalau kebajikan polis dan tentera boleh dijaga, kenapa pesara tentera tidak dijaga? Padahal kami salah satu daripada bidang keselamatan negara.
“Kalau kami tidak ada, macam mana banduan itu boleh ada dalam kawalan, itu kena ingatlah juga khidmat kami dulu,” katanya kepada pemberita selepas Makan Malam Amal bagi mengumpul dana kebajikan pesara penjara di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, kira-kira 70 peratus daripada pesara yang bernaung di bawah Expoam berusia lebih 60 tahun dan kebanyakannya berdepan masalah kesihatan dan sakit kronik termasuk jantung selepas bertahun-tahun berkhidmat dalam persekitaran penjara.
Katanya, keadaan itu menyebabkan persatuan terpanggil untuk perlu membantu menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk khairat kematian, kemasukan ke hospital serta keperluan seperti kerusi roda dan katil pesakit.
“Kami minta geran RM300,000 setahun sekali, cukuplah untuk uruskan kebajikan pesara tentera.
“Tapi sekarang ini, ahli pun pakai duit sendiri untuk beri bantuan pada ahli dan sampai bila nak macam ini?” Soalnya.
Ismail berkata, Expoam pernah menerima peruntukan kerajaan sebanyak RM500,000 pada 2013 yang disalurkan terus kepada persatuan, namun dana berkenaan kini sudah habis digunakan termasuk bagi menyalurkan bantuan ketika pandemik Covid-19.
Katanya, sehingga kini persatuan tidak menerima lagi peruntukan seumpama itu daripada kerajaan dan usaha mendapatkan geran turut dilakukan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau berkata, Expoam ketika ini menyediakan bantuan khairat kematian sebanyak RM500, manakala ahli yang dimasukkan ke wad menerima RM100 bagi tempoh sehingga tiga hari dan RM50 bagi tempoh kurang daripada tiga hari.
“RM500 ni nak bayar kebumi pun tak lepas.
“Sebab itu, persatuan merancang, kalau boleh nak bantu mereka dengan RM1,000 setiap kematian,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail berkata Expoam turut merancang mewujudkan sebuah Rumah Tumpangan Budi dan Bakti bagi menempatkan bekas anggota penjara yang ada tinggal di rumah orang tua.
Katanya, persatuan itu bercadang menguruskan sendiri pusat berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha memastikan kebajikan pesara yang memerlukan terus terbela.
"Begitu juga kita akan memberikan ceramah kepada bakal-bakal pesara daripada penjara mengenai tugas dan tanggungjawab serta bagaimana menjalani kehidupan selepas bersara,” katanya.
Beliau berkata, Expoam pernah menerima bantuan daripada beberapa kerajaan negeri termasuk Selangor dan Pahang sekitar RM3,000 hingga RM5,000.