AKPS kesan penipuan guna tandatangan pegawai dalam urusan perolehan

Iklan
Satu laporan polis telah dibuat berhubung penyalahgunaan nama Ketua Pengarah AKPS dan pegawainya. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Beberapa syarikat dipercayai menerima Surat Setuju Terima (SST) palsu yang menggunakan tandatangan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam cubaan memperdaya syarikat melalui urusan perolehan kerajaan.

Dokumen berkenaan didakwa menawarkan pembekalan barangan termasuk jaket pelindung diri taktikal, genset dan alat tulis dengan menggunakan kepala surat serta identiti pegawai AKPS.

Iklan
Iklan

AKPS dalam kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu dan percaya dokumen berkenaan dihasilkan bagi meyakinkan syarikat bahawa tawaran tersebut adalah urusan rasmi agensi.

"Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat berhubung penyalahgunaan nama Ketua Pengarah AKPS dan pegawainya.

Iklan

Kes berkenaan kini telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

AKPS menegaskan semua urusan perolehan agensi dilaksanakan mengikut tatacara, prosedur dan peraturan perolehan kerajaan yang sedang berkuat kuasa.

Iklan

"Mana-mana pihak yang menerima surat tawaran atau SST daripada AKPS dinasihatkan supaya membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang komitmen kewangan," katanya.

AKPS memandang serius sebarang bentuk penyamaran, pemalsuan dokumen serta penyalahgunaan nama, identiti dan jawatan pegawai agensi yang boleh menjejaskan reputasinya.

"Orang awam dan pihak syarikat turut dinasihatkan supaya lebih berhati-hati bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan seumpama itu," katanya.