CYBERJAYA - Menyedari kepentingan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang bagaimana sistem pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dilaksanakan di negara ini, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) memperkenalkan SWCorp Discovery Tour (SDT).
Inisiatif pendidikan awam berasaskan pengalaman sebenar yang mula diperkenalkan pada Julai tahun lalu itu telah berjaya merekodkan sebanyak 33 siri lawatan dengan lebih 1,089 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, sektor swasta dan delegasi antarabangsa.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) SWCorp, Syahrul Nizam Saleh berkata, menerusi program berkenaan, peserta didedahkan secara langsung kepada rantaian pengurusan sisa, proses pengumpulan dan pengangkutan sehinggalah kepada aktiviti kitar semula, pemulihan serta pelupusan.
“Melalui pengalaman ini, peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan, malah memahami realiti operasi pengurusan sisa serta kepentingannya dalam memastikan persekitaran bersih, selamat dan lestari.
“Matlamat utama SWCorp apabila memperkenalkan program SDT ini adalah untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap pengurusan sisa pepejal, membudayakan amalan kebersihan dan kitar semula, sekali gus melahirkan rakyat yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Beliau menambah, sepanjang siri lawatan tersebut, peserta berpeluang meninjau operasi di beberapa fasiliti utama yang menjadi nadi kepada pengurusan sisa pepejal negara.
Katanya, fasiliti itu antaranya Pusat Kawalan Operasi Bersepadu (C4i) yang memantau operasi pengurusan sisa dan pembersihan awam, Drive-Thru Recycling Centre (DTRC) yang memudahkan orang ramai menghantar bahan kitar semula.
Selain itu, Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS), pameran Waste to Art dan Waste to Wealth, selain melawat fasiliti Waste to Energy (WTE) bagi melihat bagaimana sisa dapat ditukar kepada sumber tenaga.
“Ramai masyarakat hanya melihat hasil akhir iaitu kawasan yang bersih atau sampah yang telah dikutip, namun kurang memahami proses yang berlaku disebalik penyampaian perkhidmatan tersebut.
“Jadi, inilah antara keperluan yang mendorong kita memperkenalkan SDT ini supaya dapat memberi pendedahan secara langsung mengenai keseluruhan sistem pengurusan sisa pepejal negara.
“Ia bermatlamat agar masyarakat lebih memahami cabaran yang dihadapi, selain menghargai usaha kerajaan dalam memastikan persekitaran sentiasa bersih, selamat dan lestari,” katanya.
Didik peserta fahami kitaran pengurusan sisa
Pengalaman menyertai SWCorp Discovery Tour bukan sekadar lawatan biasa, malah memberi peluang kepada peserta menyaksikan sendiri bagaimana pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dilaksanakan secara sistematik.
Menerusi sesi simulasi di Putrajaya, peserta didedahkan kepada operasi kutipan sisa pepejal, penggunaan sistem kutipan bertong, pengoperasian kenderaan pencuci jalan serta pelaksanaan tugas oleh syarikat konsesi berdasarkan jadual, laluan dan spesifikasi yang ditetapkan.
Peserta turut berinteraksi dengan petugas barisan hadapan serta melihat bagaimana penguat kuasa SWCorp memantau prestasi syarikat konsesi berdasarkan Indikator Prestasi Utama (KPI), termasuk aspek kualiti perkhidmatan, pematuhan jadual, tahap kebersihan dan spesifikasi kerja.
Pengembaraan peserta kemudiannya diteruskan ke FIKS untuk memahami perjalanan bahan kitar semula daripada proses pengumpulan dan pengasingan sehingga kepada pemulihan sumber untuk diproses semula.
Pendedahan ini memberi pemahaman bahawa pengurusan sisa bukan sekadar aktiviti mengutip dan membuang sampah, sebaliknya melibatkan sistem operasi yang tersusun, pemantauan berterusan serta kerjasama pelbagai pihak.
Pada masa yang sama, peserta diperkenalkan kepada konsep Pengasingan di Punca dan ekonomi kitaran yang menekankan penggunaan sumber secara lebih cekap dan mampan bagi mengurangkan jumlah sisa yang berakhir di tapak pelupusan.
Melalui pengalaman secara langsung ini, peserta dapat memahami bahawa pengurusan sisa yang berkesan bermula dari rumah dan premis masing-masing, di samping meningkatkan penghargaan terhadap peranan wira-wira kebersihan negara.
Ubah persepsi, bina tanggungjawab bersama urus sisa pepejal
Ditanya mengenai tanggapan salah masyarakat terhadap pengurusan sisa pepejal yang ingin diperbetulkan melalui SDT, Syahrul Nizam berkata, antara perkara yang masih wujud ialah semua sisa yang dibuang akan dikitar semula.
Hakikatnya ujar beliau, tidak semua sisa boleh diproses untuk kitar semula kerana lazimnya sampah yang tercemar, bercampur atau tidak diasingkan dengan betul perlu dilupuskan memandangkan ia tidak sesuai dipulihkan atau digunakan semula.
Selain itu katanya, masih terdapat persepsi bahawa pengurusan sisa pepejal merupakan tanggungjawab pihak berkuasa semata-mata.
“Sebenarnya, kejayaan sistem pengurusan sisa bergantung kepada semua pihak. Setiap individu mempunyai peranan penting bermula daripada mengurangkan penghasilan sisa, mengasingkan, mengamalkan penggunaan semula serta memastikan ia dibuang dengan cara yang betul.
“Ramai juga beranggapan bahawa sisa yang dibuang akan hilang begitu sahaja, sedangkan setiap sisa perlu melalui proses teratur yang memerlukan bukan sahaja tenaga tetapi juga kos dan infrastruktur besar,” katanya.
Menjawab mengenai cabaran terbesar dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap pengurusan sisa pepejal, beliau berkata, ia melibatkan usaha untuk mengubah sikap dan tabiat yang telah lama terbentuk.
Katanya, masih terdapat individu yang belum mengamalkan pengasingan, kurang menghargai nilai bahan kitar semula serta menganggap isu kebersihan dan pengurusan sisa sebagai tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa semata-mata.
“Jadi, atas sebab itulah SWCorp memperkenalkan SDT ini. Pendekatan ini menjadi proses pembelajaran lebih bermakna kerana peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan, malah dapat merasai cabaran sebenar yang dihadapi dalam menguruskan sisa pepejal.
“Pengalaman tersebut membantu membentuk kesedaran yang lebih mendalam serta mendorong mereka mengamalkan perubahan tingkah laku yang lebih bertanggungjawab dalam kehidupan seharian,” katanya.
SDT membentuk sikap dan tingkah laku masyarakat
Beliau dalam masa sama turut menjelaskan, pelaksanaan SDT juga menjadi inisiatif strategik yang menyokong agenda kerajaan dalam membentuk masyarakat yang lebih prihatin, bertanggungjawab dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Ujarnya, lebih daripada sekadar menyampaikan pengetahuan mengenai pengurusan sisa pepejal, SDT berperanan membentuk sikap dan tingkah laku masyarakat.
“Secara keseluruhan SDT menyokong agenda kebersihan awam, ekonomi kitaran, Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) serta aspirasi Malaysia Madani,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, beliau berkata, SWCorp merancang untuk memperluaskan capaian program serta memperkayakan pengalaman pembelajaran peserta supaya SDT terus relevan, berdaya saing dan memberi impak besar kepada masyarakat.
Dalam jangka panjang ujarnya, SDT disasarkan berkembang daripada sebuah program lawatan kepada ekosistem pembelajaran pengurusan sisa yang komprehensif, interaktif dan berterusan.
“Dengan pelaksanaan yang tersusun dan penambahbaikan secara berterusan, SDT berpotensi berkembang sebagai sebuah makmal pembelajaran hidup yang membolehkan peserta bukan sahaja melihat dan memahami tetapi turut meneroka inovasi serta mengaplikasikan ilmu dalam kehidupan seharian dan komuniti masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak memandang ringan kepentingan menguruskan sisa secara bertanggungjawab.
Menurutnya, negara akan berdepan peningkatan jumlah sisa pepejal, tekanan terhadap kapasiti tapak pelupusan serta kos pengurusan yang semakin tinggi jika masyarakat terus memandang ringan terhadap perkara tersebut.
“Atas sebab itu, pendidikan dan kesedaran perlu dilaksanakan secara berterusan. Melalui SDT, SWCorp berusaha membentuk masyarakat yang memahami bahawa setiap tindakan, walaupun kecil tapi mampu beri impak besar kepada negara.
“Perubahan besar sentiasa bermula dengan tindakan kecil. Jika setiap rakyat memahami nilai setiap sisa yang dihasilkan dan mengambil tanggungjawab menguruskannya dengan betul, Malaysia bukan sahaja mampu mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, malah melahirkan masyarakat yang lebih bersih,” katanya.