Nenek didakwa bunuh cucu tiri

Iklan
Seorang nenek didakwa di Mahkamah Majistret disini pada Rabu atas pertuduhan membunuh cucu tiri berusia 16 bulan hujung bulan lalu.

KOTA TINGGI - Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret disini pada Rabu atas pertuduhan membunuh bayi perempuan berusia 16 bulan hujung bulan lalu.

Tertuduh, Nurul Farhana Laili Shah, 39, faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hafizah Abdul Rajak.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes Seksyen 302 adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, dia telah membunuh Nur Anggun Dahlia Abdullah, 16 bulan di antara jam 12.30 tengahari 30 Julai sehingga 9.30 pagi 31 Julai di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi perempuan 16 bulan maut dipercayai didera, dibunuh

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas selesai pertuduhan.

Iklan

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak lebih 40 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa manakala tertuduh diwakili peguam, Lydiana Mansor.

Tiada jaminan ditawarkan memandangkan kes bunuh tidak boleh dijamin.

11 Disember ditetapkan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia, dan dan bedah siasat.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, seorang bayi perempuan berusia setahun empat bulan meninggal dunia dipercayai menjadi mangsa dera dan bunuh nenek tirinya yang menjaganya sejak lahir di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi, 31 Julai lalu.

Tertuduh tiba di Mahkamah Majistret Kota Tinggi untuk didakwa atas kesalahan membunuh cucu tirinya di Taman Sri Saujana, Kota Tinggi hujung bulan lalu.

Ibu kepada bayi yang tidak sah taraf berusia 18 tahun itu meninggalkan kanak-kanak malang itu kepada wanita berkenaan berikutan dia masih menuntut di sebuah kolej vokasional negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, laporan diterima daripada nenek tiri berusia 39 tahun pada 31 Julai jam 9.30 pagi yang mendakwa bayi itu tidak sedarkan diri ketika cuba dikejutkan daripada tidur.

Bagaimanapun, hasil bedah siasat mengesahkan mangsa mengalami trauma daya tumpul di bahagian dada dan abdomen berikutan ada kesan lebam pada bayi malang itu.

Bertindak atas laporan itu, tiga individu ditahan melibatkan ibu mangsa, nenek tiri dan datuk namun dua daripadanya dibebaskan untuk dijadikan saksi pendakwaan.