Bekas wartawan sambilan Sinar Harian, penulis prolifik Hashim Latiff kini kritikal

Iklan
Keadaan Hashim (tengah) pada penghujung Julai lalu ketika menerima kunjungan rakan-rakan daripada Persatuan Penulis dan Budayawan Kelantan (PESISIR) di rumahnya di Kuala Tiga, Tanah Merah.Foto: PESISIR

TANAH MERAH – Bekas wartawan sambilan Sinar Harian yang juga dikenali sebagai penulis prolifik dalam bidang penulisan kreatif, Hashim Latiff, 65, dilaporkan kini berada dalam keadaan kritikal.

Menurut adik iparnya, yang juga merupakan bekas wartawan Sinar Harian Skuad Kuala Krai, Azura Mohamad, 48, abang iparnya itu mengalami masalah kesihatan termasuk jantung, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Iklan
Iklan

"Doktor memaklumkan sudah tiada rawatan yang boleh diberikan setakat ini selepas dia dimasukkan ke Hospital Tanah Merah pada Rabu minggu lepas," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Keadaan Hashim pada penghujung Julai lalu ketika menerima kunjungan rakan-rakan daripada Persatuan Penulis dan Budayawan Kelantan (PESISIR) di rumahnya di Kuala Tiga, Tanah Merah.Foto: PESISIR

Iklan

Menurut beliau, ahli keluarga memilih untuk membawa Hashim pulang ke rumah di Kampung Kuala Tiga di sini.

Ujarnya, abang iparnya itu mempunyai lima orang anak berusia antara 20 tahun hingga 30 tahun.

Iklan

"Abang sudah setahun sakit dan dalam beberapa bulan ini kerap berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Kami mohon kepada mereka yang mengenali abang Hashim agar mendoakan dipermudahkan segala urusan," katanya.

Selain pernah berkhidmat sebagai wartawan sambilan di Sinar Harian, Hashim pernah menghasilkan pelbagai karya termasuk novel, cerpen dan skrip drama radio di RTM termasuk skrip Salam Pantai Timur.

Beliau bukan nama asing dalam dunia penulisan kreatif Kelantan, malah dikenali sebagai antara penulis prolifik dan banyak menghasilkan karya yang mengangkat kehidupan masyarakat, budaya serta kearifan tempatan.

Antara karya beliau termasuk Serunai Malam, Pendekar Sufi, Aku Bukan Kaki Bangku, Permata di Anjung Desa dan Anak Jal Besar.