DAP: Kekal dalam kerajaan, jiwai kepelbagaian Malaysia

Iklan
DAP telah menjadi sebahagian daripada kerajaan hampir sepanjang penggal ini. Gambar kecil: Julia dan Sivamurugan.

MESYUARAT Luar Biasa DAP pada 16 Ogos 2026 bukan sekadar menentukan sama ada parti itu mahu terus berada dalam kerajaan atau meninggalkan Kabinet. Lebih besar daripada itu, mesyuarat tersebut perlu menjawab satu soalan yang semakin menghantui DAP: masihkah rakyat dapat membezakan antara DAP dengan perjawatan dalam kerajaan madani?

DAP tidak perlu keluar daripada kerajaan. Kalau mahu kekal, jangan pula kekal sebagai parti yang sentiasa menjadi perisai kepada kerajaan setiap kali berdepan kritikan rakyat. Itu bukan peranan DAP. Lantang dengan beramanah, kikis imej politik keetnikan dengan integriti politik.

Iklan
Iklan

DAP perlu kekal dalam kerajaan kerana keluar sekarang mungkin memberikan sedikit jarak politik, tetapi pada masa sama ia akan menyebabkan parti itu kehilangan pengaruh langsung terhadap dasar dan reformasi yang boleh memberi kesan kepada rakyat.

Lagipun, DAP telah menjadi sebahagian daripada kerajaan hampir sepanjang penggal ini. Kalau kapal masih belayar, tidakkan kerana ombak semakin kuat kita terus terjun ke laut. Namun, ada satu perkara yang mesti berubah. DAP bukan pembangkang, mentaliti sebagai kerajaan yang mewakili semua rakyat perlu dipertingkatkan.

Iklan

Menjadi anggota kerajaan tidak bermakna perlu mempertahankan setiap keputusan kerajaan. Menyokong kerajaan apabila betul adalah tanggungjawab. Menegur kerajaan apabila silap pula adalah keberanian.

Kalau semua keputusan kerajaan mahu dipertahankan, siapa pula yang akan mempertahankan kepentingan pengundi? Jangan sampai kerana terlalu menjaga hati kerajaan, DAP akhirnya melukakan hati pengundi sendiri. Namun, pertahankan perkara 3R (Raja, Agama dan Etnik) dan mendidik ahli memahami kerangka Malaysia sebagaimana dalam Rukun Negara dan Perlembagaan negara.

Iklan

Sebab itu, saya melihat mesyuarat 16 Ogos ini perlu menjadi titik reset kepada DAP. Jika mahu kekal dalam kerajaan, kepimpinan parti perlu diberikan mandat yang lebih jelas.

Pertama, kekal dalam kerajaan tetapi dengan syarat prestasi. Hentikan caci atau mencari kesalahan pihak lain, tumpu pada pencapaian sendiri.

Kedua, DAP perlu memperkenalkan 'kad skor reformasi' kepada rakyat. Tetapkan lima hingga lapan sasaran yang jelas, boleh diukur dan mesti dicapai sebelum PRU16.

Tidak perlu lagi slogan reformasi yang terlalu umum. Rakyat mahu tahu: apa yang berubah? Bila berubah? Dan siapa yang bertanggungjawab?

Ketiga, DAP mesti lebih berani tidak bersetuju secara terbuka. Kalau sesuatu dasar kerajaan bertentangan dengan prinsip rakyat, katakan ia bertentangan. Kalau sesuatu keputusan tidak popular tetapi perlu, jelaskan kepada rakyat. Tetapi kalau keputusan itu memang lemah, jangan dipaksa menjadi betul hanya kerana ia datang daripada kerajaan sendiri. Parti politik yang takut berkata “tidak” akhirnya akan berdepan pengundi yang berkata “tidak” pada hari pilihan raya.

Keempat, DAP perlu menuntut tanggungjawab bersama dalam kerajaan. Tidak boleh apabila dasar berjaya semua mahu mengambil kredit, tetapi apabila rakyat marah, parti tertentu pula dipaksa menanggung segala beban politik.

DAP juga perlu berhenti membenarkan identitinya tenggelam dalam kerajaan. DAP mesti belajar keluar dari menyalahkan pihak lain, misalnya masih bermain isu Datuk Seri Najib Razak; Datin Seri Rosmah Mansor atau UMNO. Bersuaralah demi rakyat Malaysia tanpa menjejas pegangan ke atas institusi dan struktur sedia ada termasuk raja, etnik dan agama.

DAP bukan PKR. DAP bukan UMNO. DAP bukan Anwar. DAP ialah DAP. Ini bukan soal ego parti. Ini soal kelangsungan politik. Pengundi perlu tahu mengapa mereka masih memerlukan DAP. Apakah yang membezakan DAP daripada parti-parti lain dalam kerajaan? Apakah prinsip yang tidak akan dikompromikan?

Kalau soalan-soalan ini tidak mampu dijawab, DAP berdepan masalah yang lebih besar daripada soal siapa menjadi menteri. Akhirnya, rakyat tidak akan mengundi berdasarkan siapa yang paling lama mempertahankan kerajaan. Rakyat akan mengundi berdasarkan siapa yang mereka percaya masih memperjuangkan mereka.

DAP perlu sedar satu hakikat pahit: jawatan menteri boleh memberi kuasa, tetapi jawatan menteri tidak menjamin undi. Kekal dalam kerajaan mungkin pilihan yang paling rasional. Tetapi kekal tanpa suara sendiri boleh menjadi perangkap politik. Bak kata pepatah, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.” Dalam politik pula, terlajak mempertahankan sesuatu yang tidak lagi dipercayai rakyat boleh membawa padah yang lebih besar.

Maka, mandat terbaik untuk mesyuarat 16 Ogos bukanlah “keluar kerajaan”. Bukan juga “sokong kerajaan tanpa syarat”. Mandatnya harus lebih berani:

Kekal dalam kerajaan. Tetapi tegakkan prinsip. Tuntut hasil. Tegur apabila perlu tanpa menyanggahi kepentingan kenegaraan.

DAP tidak perlu menjadi pembangkang untuk menunjukkan kerajaan melakukan kesilapan. DAP juga tidak boleh menjadi tukang sorak hanya kerana berada dalam kerajaan. Hilangkan imej politik identiti dengan prestasi untuk semua.

PRU16 mungkin masih belum tiba. Tetapi jam politik sudah berdetik. Apabila tiba masanya rakyat membuat keputusan, mereka tidak akan bertanya berapa banyak kerusi Kabinet yang pernah diduduki DAP.

Mereka akan bertanya: “Apa yang kamu sudah buat?” Kalau jawapannya jelas, DAP masih mempunyai masa depan. Kalau jawapannya kabur, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

*Dr Julia Lim Pay Loo, Namseoul University Korea Selatan dan Profesor Datuk. Is. Dr. Sivamurugan Pandian, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia