SEBUAH bas sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak dalam perjalanan ke sekolah.
Namun apabila kenderaan yang membawa mereka sendiri berada dalam keadaan tidak selamat, siapa yang harus dipersalahkan?
Kes lantai bas sekolah reput yang didakwa meragut nyawa Wan Muhammed Adam dan perjuangan keluarganya mendapatkan keadilan selama bertahun-tahun bukan sekadar kisah sebuah keluarga.
Ia sepatutnya menjadi peringatan bahawa soal keselamatan pengangkutan sekolah tidak boleh dipandang ringan.
Setiap pagi, ibu bapa menyerahkan anak kepada pengusaha bas dengan harapan mereka tiba di sekolah dan pulang ke rumah dengan selamat. Kepercayaan itu datang bersama tanggungjawab yang besar.
Justeru, pemeriksaan keselamatan tidak boleh sekadar menjadi prosedur atas kertas. Persoalannya mudah. Siapa memeriksa keadaan bas? Berapa kerap pemeriksaan dilakukan? Apakah tindakan terhadap pengusaha yang gagal memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat?
Kita tidak mahu pemeriksaan hanya dipergiatkan selepas berlaku kemalangan, apatah lagi selepas nyawa melayang.
Lebih membimbangkan jika kos penyelenggaraan dijadikan alasan untuk mengabaikan keselamatan. Nyawa anak-anak bukan angka dalam laporan kemalangan. Mereka adalah anak, adik, abang, kakak dan harapan sebuah keluarga.
Sudah tiba masanya keselamatan pengangkutan sekolah diberikan perhatian lebih serius, termasuk pemeriksaan berkala, penguatkuasaan tegas dan tindakan terhadap pengusaha yang cuai.
Pihak berkuasa, pengusaha dan pemilik bas perlu melihat isu ini sebagai amanah, bukan sekadar tanggungjawab. Jika ada kelemahan, perbaiki segera. Jika ada kecuaian, ambil tindakan.
Jangan sampai keselamatan menjadi keutamaan selepas kejadian berlaku dan keluarga terpaksa menanggung akibatnya sepanjang hayat.
Keselamatan anak-anak bukan ruang untuk bertolak ansur. Bas sekolah bukan tempat bereksperimen dengan nasib.
Nyawa tidak boleh diganti dan kecuaian tidak sepatutnya dibayar dengan penyesalan.