PRN Melaka: Jangan biarkan pengundi terus meneka

Iklan
Setakat ini, hubungan antara BN dan PH masih belum diterjemahkan kepada rundingan rasmi. Foto fail Bernama

PEMBUBARAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka membuka gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16, namun persoalan lebih besar kini bukan lagi bila rakyat akan mengundi, sebaliknya siapa akan bersama siapa dan atas dasar apa.

Setakat ini, hubungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masih belum diterjemahkan kepada rundingan rasmi.

Iklan
Iklan

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini meminta BN menyatakan pendirian dengan jelas sekiranya tidak berminat mengadakan rundingan kerjasama.

Pada masa sama, PH turut menyediakan beberapa senario termasuk bergerak sendiri atau meneroka bentuk kerjasama lain.

Iklan

Situasi menjadi lebih kompleks apabila Perikatan Nasional (PN) pula memberi isyarat bahawa gabungan itu mungkin bertanding di kesemua 28 kerusi DUN sekiranya gagal mencapai persefahaman dengan BN, khususnya dalam soal pengagihan kerusi.

Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik bagaimanapun berkata, ruang rundingan BN-PN masih terbuka.

Iklan

BN pula sebelum ini menegaskan mahu mempertahankan kesemua 21 kerusi dimenanginya pada PRN 2021, walaupun kekal terbuka kepada rundingan dengan parti lain. Di sinilah persoalan pokok perlu dijawab.

Jika BN mahu mempertahankan 21 kerusi, PN bersedia bertanding di semua kerusi jika rundingan gagal, manakala PH turut menyediakan pilihan untuk bergerak sendiri, sejauh mana ruang kompromi sebenarnya masih wujud?

Lebih penting, adakah rundingan yang dibicarakan itu berasaskan persamaan dasar dan agenda pentadbiran negeri atau sekadar usaha mengelakkan pertembungan sesama sendiri?

Rakyat tidak seharusnya hanya disajikan dengan formula gabungan, perebutan kerusi dan teka-teki penjajaran.

Parti-parti yang mahu mendapatkan mandat perlu menjelaskan siapa rakan mereka, kerusi yang mahu ditandingi serta dasar yang mahu dibawa kepada rakyat Melaka.

PRN Melaka sepatutnya menjadi medan menawarkan pilihan jelas, bukan pertandingan siapa paling lama mampu menyimpan teka-teki.