POLITIK Malaysia memang unik. Baru sahaja satu keputusan dibuat atas landasan Perlembagaan, sudah ada yang sibuk mengira berapa kerusi boleh dituai daripadanya.
Pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang membolehkan baki hukuman kes SRC International dijalani secara tahanan di rumah sehingga Ogos 2028 sememangnya bukan sekadar isu undang-undang.
Ia segera berubah menjadi modal politik, bahan perdebatan dan senjata naratif yang sedang diperebutkan oleh semua pihak.
UMNO pula tidak berselindung mengharapkan perkembangan itu menjadi penyuntik semangat kepada akar umbi menjelang pilihan raya akan datang termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Jika 'gelombang biru' mahu diperbesarkan, isu Najib perlu diurus dengan cermat. Jangan sampai kesetiaan kepada seorang tokoh menjadi ukuran kesetiaan kepada parti hingga agenda pembaharuan, penjenamaan semula dan integriti tenggelam dalam nostalgia politik.
Isu ini turut menguji Pakatan Harapan (PH) yang mahu mempertahankan prinsip reformasi, tetapi pada masa sama menjadi sebahagian daripada Kerajaan Madani yang perlu menghormati institusi diraja serta Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Di sinilah politik menjadi seperti permainan catur. Satu bidak digerakkan, beberapa barisan terpaksa mengira langkah seterusnya.
Ada yang melihatnya peluang mengukuhkan sokongan, manakala pihak lain mempertikaikan komitmen terhadap integriti.
PH pula tidak perlu bekerja terlalu keras jika lawannya sendiri membuka ruang. Cukup mengulang persoalan tentang keadilan, tadbir urus dan kepercayaan rakyat, selebihnya biarkan persepsi awam terbentuk.
Jangan sampai mahu meniup gelombang, akhirnya yang pecah bukan ombak, tetapi perahu sendiri.