PENGIKTIRAFAN Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) terhadap Terengganu menerusi Malaysia Open Budget Index (MyOBI) 2026 wajar diberi perhatian bukan sahaja sebagai satu pencapaian pentadbiran negeri, tetapi juga sebagai petunjuk penting tentang bagaimana budaya tadbir urus boleh dibentuk melalui kepimpinan, institusi dan keterbukaan terhadap semakan awam.
Dalam laporan yang diterbitkan pada 11 Ogos 2026, IDEAS meletakkan Terengganu sebagai negeri terbaik di Malaysia dari segi ketelusan belanjawan, khususnya dalam kebolehcapaian maklumat belanjawan kepada orang ramai.
Selangor dan Pulau Pinang berada selepas Terengganu manakala dari sudut pemantauan legislatif, Terengganu turut berada dalam kelompok tiga negeri terbaik bersama Selangor dan Pulau Pinang.
Pencapaian itu lebih bermakna kerana MyOBI 2026 bukan sekadar melihat sama ada kerajaan negeri mengumumkan angka belanjawan kepada media.
Penilaiannya meliputi kebolehcapaian dan ketepatan masa penerbitan dokumen belanjawan, tahap pemantauan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) serta ruang untuk penglibatan masyarakat dalam proses belanjawan.
Malah, metodologi 2026 diperketatkan dengan penambahan kriteria baharu berasaskan penanda aras Open Budget Survey antarabangsa.
Justeru, apabila Terengganu mencatatkan skor 77 bagi kebolehcapaian awam, berbanding 76 pada 2024, ia bukan pencapaian yang terhasil daripada penanda aras yang dilonggarkan.
Sebaliknya, laporan menunjukkan bahawa di bawah set soalan lama, prestasi Terengganu sebenarnya bersamaan 91 mata, menunjukkan peningkatan ketara terhadap perkara-perkara yang dinilai sebelum ini.
Lebih menarik, Terengganu menyediakan enam daripada tujuh dokumen utama yang dinilai MyOBI dalam tempoh ditetapkan, iaitu rekod terbaik antara semua negeri. Terengganu juga merupakan satu-satunya negeri yang menerbitkan Enacted Budget 2026 dalam tempoh penilaian.
Malah, laporan IDEAS menyatakan bahawa sejak dua edisi MyOBI terdahulu, Terengganu kekal sebagai satu-satunya negeri yang menerbitkan dokumen tersebut apabila Johor dan Selangor tidak lagi berbuat demikian.
Apa yang lebih signifikan ialah kedalaman maklumat. IDEAS bukan sahaja menyebut Terengganu sebagai negeri yang mendedahkan angka belanjawan, malah menyifatkan perinciannya sebagai luar biasa kerana pecahan perbelanjaan disediakan sehingga ke peringkat program.
Laporan itu secara khusus mencadangkan dokumen Anggaran Belanjawan Terengganu sebagai amalan yang boleh dicontohi negeri-negeri lain.
Dalam menilai pencapaian ini, sukar untuk memisahkannya sepenuhnya daripada corak kepimpinan Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang merupakan Menteri Besar Terengganu ke-15 sejak 10 Mei 2018.
Kepimpinan Dr Ahmad Samsuri, menyumbang besar kepada ketelusan fiskal ini melalui pembentukan ekosistem yang membenarkan proses ini berkembang melalui kerjasama Pejabat Menteri Besar, Perbendaharaan Negeri, pentadbiran awam, DUN serta institusi penyelidikan
Satu petunjuk penting ialah peranan Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS). Dr Ahmad Samsuri sendiri merupakan Pengerusi lembaga TSIS, iaitu badan pemikir kerajaan negeri yang memberi tumpuan kepada penyelidikan dasar, perancangan strategik dan integriti.
Malah, laporan IDEAS membuat satu pengiktirafan yang agak luar biasa. Dalam bahagian penghargaan, IDEAS secara khusus memuji TSIS dan Kerajaan Negeri Terengganu kerana memberikan maklum balas serta pandangan terhadap penilaian MyOBI.
IDEAS menyifatkan keterlibatan sebegitu sebagai bukti bahawa kerajaan negeri berkenaan bersikap proaktif dalam menyokong ketelusan belanjawan dan tadbir urus baik.
Pengiktirafan ini amat penting sekali kerana kerajaan yang benar-benar mahu meningkatkan tadbir urus bukan sekadar menerbitkan laporan yang memuji dirinya sendiri. Ia mesti bersedia membuka datanya kepada penelitian pihak luar, menjawab pertanyaan penyelidik dan menerima kritikan terhadap kelemahannya.
Dalam konteks itu, kepimpinan Dr Ahmad Samsuri boleh dilihat mempunyai satu ciri yang penting dalam pentadbiran moden, iaitu kesediaan menggunakan institusi dan data sebagai sebahagian daripada proses membuat serta menilai dasar.
TSIS sendiri mempunyai rekod perbincangan mengenai pelaksanaan dan hala tuju belanjawan negeri serta penggunaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam perancangan strategiknya.
Bagaimanapun, pengiktirafan IDEAS tidak harus ditafsirkan sebagai mengatakan bahawa sistem Terengganu sudah sempurna. Laporan itu sendiri menegaskan bahawa tiada sebuah negeri pun menerbitkan keseluruhan set dokumen penting mengikut tempoh yang ditetapkan.
Tidak ada negeri, termasuk Terengganu, yang menerbitkan Supply Bill untuk akses umum. Ruang penyertaan orang ramai dalam proses belanjawan pula masih menjadi kelemahan seluruh negara.
Inilah sebenarnya nilai laporan tersebut. MyOBI bukan ukuran populariti parti politik, bukan ukuran sama ada setiap projek kerajaan berjaya dan bukan juga audit menyeluruh terhadap kualiti perbelanjaan. Ia ialah ukuran keterbukaan proses fiskal, akses maklumat dan mekanisme semak imbang.
Namun begitu, dalam suasana politik Malaysia yang sering menilai kerajaan negeri melalui polemik parti, keputusan MyOBI 2026 memberikan satu ukuran yang lebih objektif.
Terengganu kini mempunyai sesuatu yang boleh dibuktikan melalui data. Dalam bidang ketelusan belanjawan, negeri itu berada jauh di hadapan berbanding negeri-negeri lain.
Pencapaian ini juga memperlihatkan bahawa kekuatan kepimpinan negeri bukan hanya diukur melalui pidato, projek besar atau populariti politik. Keupayaan membina institusi yang telus, menyediakan maklumat yang boleh diperiksa dan membenarkan kerajaan dinilai pihak bebas merupakan ukuran kepimpinan yang lebih berkekalan.
Cabaran seterusnya ialah memastikan pencapaian tersebut tidak bergantung kepada individu tertentu. Jika budaya keterbukaan ini dapat diinstitusikan, diperluas kepada penyertaan rakyat dan dikekalkan walaupun berlaku pertukaran kepimpinan pada masa depan, maka pencapaian MyOBI 2026 boleh menjadi lebih daripada sekadar satu kedudukan dalam indeks.
Ia malah boleh menjadi asas kepada satu model tadbir urus negeri yang lebih telus, berdisiplin dan bertanggungjawab untuk dicontohi di seluruh Malaysia.
*Prof Dr Baharom Abdul Hamid ialah Profesor di INCEIF University dan Felo Ekonomi dan Perniagaan di The Future Research