DUN Selangor kecoh isu RCI Tabung Haji, politik perkauman

Iklan
Atas dari kiri: Danial dan Abbas. Bawah dari kiri Afif, Mariam dan Mohd Zamri

SHAH ALAM - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kecoh apabila Danial Al-Rashid Haron (PH-Batu Tiga) membangkitkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan Rakyat ketika laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) dibahaskan.

Danial pada sesi perbahasan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan memandangkan isu TH membabitkan kepentingan jutaan pendeposit institusi berkenaan.

Iklan
Iklan

"Takkanlah ahli-ahli pembangkang ini daripada Pas dan parti lain keluar dan tidak mahu bahas tentang Tabung Haji?

"Apa lagi yang nak ditakutkan? Kita sudah letakkan RCI dalam pembentangan khas, apa lagi yang belum cukup?” katanya.

Iklan

Bagaimanapun, perbahasan itu segera dicelah Dr Afif Bahardin (Bersatu-Taman Medan) yang meminta Danial membetulkan kenyataannya dengan menjelaskan Ahli Parlimen Bersatu kekal berada dalam Dewan Rakyat untuk membahaskan isu TH.

Danial kemudian menarik balik kenyataan yang mengaitkan semua Ahli Parlimen pembangkang dan mengucapkan tahniah kepada Bersatu kerana kekal berada dalam Dewan.

Iklan

"Saya bersetuju dan saya tarik balik kepada semua ahli pembangkang dan saya ucap tahniah kepada Bersatu kekal berada dalam Dewan Rakyat untuk membahaskan," ujarnya.

Situasi kemudian terus hangat apabila Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) meminta pandangan Danial berhubung tindakan ahli Parlimen daripada parti yang menggunakan nama Islam keluar Dewan ketika isu kepentingan umat Islam khususnya TH dibahaskan.

Mariam mempersoalkan tindakan itu memandangkan TH adalah institusi yang melibatkan kepentingan umat Islam dan jutaan penabung.

Dalam pada itu, Abbas Salimi Azmi (PH-Seri Serdang) pula mencelah dengan mengaitkan kenyataan terbaru Presiden Pas dengan Amanat Haji Hadi yang pernah mencetuskan kontroversi pada 1981.

Beliau bertanya sama ada kenyataan terbaru itu juga wajar difatwakan sesat di Selangor sekiranya Amanat Haji Hadi 1981 pernah difatwakan sedemikian oleh kerajaan negeri Melaka.

Menjawab perkara itu, Danial berkata, beliau tidak pasti sama ada Presiden Pas akan mengikut fatwa sekiranya ia dikeluarkan terhadap kenyataan terbabit.

"Setiap kali keluar kenyataan semua berubah-ubah dan semuanya tidak kena dengan situasi semasa.

"Kalau kita nak keluar fatwa sekalipun, apakah beliau nak ikut dengan fatwa itu? Saya pun tidak pasti,” katanya.

Danial kemudian mengaitkan isu berkenaan dengan dakwaan politik sering menjadikan DAP sebagai bahan untuk menakut-nakutkan orang Melayu, termasuk dalam isu TH.

Beliau berkata, usaha menyelamatkan TH sebelum ini menunjukkan kerjasama pentadbiran boleh dilakukan tanpa mengira latar belakang parti apabila kepentingan rakyat dan institusi negara menjadi keutamaan.

Katanya, apabila berdepan isu yang menyentuh kepentingan rakyat, semua pihak perlu mengetepikan sentimen politik sempit.

"Ketika nak menyelamatkan Tabung Haji, kita usaha untuk menyelamatkan institusi milik penuh kerajaan kita.

"Dalam kerajaan ini bila kita cakap tentang keharmonian, kestabilan dan perpaduan, kenapa di luar apabila ada kepentingan politik yang mendesak kita membiarkan naratif negatif yang menakut-nakutkan satu kaum ini mula dimainkan?” katanya.

Danial turut menggesa Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizam Ismail dari BN supaya memainkan peranan mempertahankan keharmonian negeri.

Bagaimanapun, kenyataan itu sekali lagi mengundang celahan ADUN Sungai Burong, Mohd Zamri Mohd Zainuldin yang mempersoalkan dakwaan pihak pembangkang turut memainkan isu tertentu sehingga menjejaskan keharmonian.

Beliau bertanya sama ada tindakan menggunakan deklarasi politik tertentu untuk menentang Perlembagaan Persekutuan boleh dianggap sebagai usaha mengekalkan keharmonian.

Mohd Zamri turut membangkitkan Perkara 151 dan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang didakwanya menjadi asas kepada kontrak sosial serta persoalan berkaitan tindakan politik bercanggah dengan kerangka perlembagaan.

Menjawab celahan itu, Danial berkata, jika Perlembagaan sudah jelas mempertahankan Melayu, Islam dan institusi Raja, maka tidak sepatutnya wujud dakwaan DAP akan menghapuskan perkara berkenaan.

Beliau pada masa sama mencabar pembangkang supaya menentang kerajaan Selangor berdasarkan prestasi dan fakta, bukannya sentimen perkauman.

"Kalau tiba masa kita berhadapan pilihan raya, kita akan berhadapan sehingga akhirnya bawa ke pentas reformasi pentadbiran.

"Lawanlah kami dengan prestasi dan integriti. Jangan baling batu sembunyi tangan. Kalau kerajaan ini lemah, tunjukkan kelemahannya.

"Kalau dasar kita gagal, bentangkan faktanya, kalau ada negeri lain yang ditadbir lebih baik daripada negeri Selangor, bawalah angka dan bukti dalam Dewan ini," katanya.

Beliau menegaskan, Selangor tidak seharusnya dijadikan taruhan kerana permainan politik sedemikian.

"Politik boleh membezakan parti tetapi jangan sesekali kita bawa politik perkauman yang akan memisahkan rakyat negeri Selangor," tambah beliau.