NOF12 tampil konsep baharu, angkat elemen seram Asia

Iklan
NOF12 bertemakan Ape-ocalypse berlangsung di Sunway Lagoon bermula 25 September hingga 7 November 2026 pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

BANDAR SUNWAY - Selepas 12 tahun penganjuran, Nights Of Fright (NOF) kembali dengan edisi terbaharu yang mengetengahkan gabungan elemen seram tempatan, Asia dan antarabangsa menerusi konsep penceritaan serta pengalaman interaktif.

Nights Of Fright 12 (NOF12) bertemakan Ape-ocalypse berlangsung di Sunway Lagoon bermula 25 September hingga 7 November 2026 pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Iklan
Iklan

Edisi kali ini mengetengahkan konsep dunia pascaapokalips menerusi Ape-ocalypse yang menggambarkan keruntuhan tamadun manusia dan dunia yang dikuasai kumpulan beruk.

Selain tema utama berkenaan, beberapa tarikan lain mengambil inspirasi daripada cerita rakyat Jepun, kisah seram kultus, manga, budaya K-pop serta kepercayaan supernatural Malaysia dan Asia Tenggara.

Iklan

Pengurus Besar Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Sunway Theme Parks, Michelle Soong berkata, penganjuran tahun ini meneruskan usaha memperkenalkan pendekatan baharu dalam menghasilkan pengalaman hiburan imersif.

Menurutnya, Ape-ocalypse memberikan hala tuju kreatif baharu, manakala tarikan lain menggabungkan pengaruh antarabangsa dengan elemen yang dekat dengan masyarakat Malaysia dan rantau ini.

Iklan

“Ape-ocalypse memberikan kami hala tuju kreatif baharu, manakala keseluruhan tarikan membolehkan pengaruh antarabangsa digabungkan dengan elemen yang dekat dan mempunyai makna kepada pengunjung di Malaysia serta rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Antara konsep diketengahkan ialah 'Yokai Road' yang diinspirasikan daripada cerita rakyat Jepun, selain 'The Freezer: Fresh Meat' yang membawa latar sebuah fasiliti pemprosesan daging.

Antara konsep diketengahkan NOF12 ialah 'Yokai Road' yang diinspirasikan daripada cerita rakyat Jepun

'Little Shop of Horrors: Manga UV 3D' pula menggabungkan elemen seram dengan estetika manga, kesan ultraungu dan visual tiga dimensi (3D), manakala The (Not-So) Wonderful Wizard of OZ memberikan interpretasi lebih gelap terhadap kisah klasik berkenaan.

Turut ditampilkan ialah 'The Romeos & Juliet' yang membawa tema obsesi, cemburu dan pembunuhan berlatarbelakangkan budaya K-pop serta Horrorwood Wax Studios yang menggabungkan karakter seram dan figura lilin dalam persekitaran interaktif.

Elemen seram tempatan dan Asia Tenggara pula diketengahkan menerusi 'Scarytales Immersive Theatre: Pontianak vs. Pocong: Origins' yang mengangkat karakter supernatural yang tidak asing dalam cerita rakyat rantau ini.

Tarikan 'Return to Silent Hill' turut kembali pada edisi kali ini dengan membawa pengunjung ke persekitaran yang diinspirasikan daripada dunia fiksyen Silent Hill.

Dalam pada itu, NOF12 meneruskan kerjasama kreatif antara Sunway Lagoon dan The Sudden Impact! Entertainment Company yang terlibat dalam pembangunan konsep serta pengalaman imersif acara berkenaan.

Pengasas dan Pengarah Kreatif Global The Sudden Impact! Entertainment Company, Lynton V Harris berkata, kerjasama itu membolehkan idea baharu terus dibangunkan untuk disesuaikan dengan penonton di Malaysia.

Menurutnya, tema Ape-ocalypse membuka ruang kepada pendekatan kreatif berbeza, sementara tarikan lain meneroka pelbagai genre seram, budaya popular, gaya visual serta pengaruh budaya.

NOF12 turut merangkumi persembahan secara langsung dan beberapa aktiviti interaktif sebagai sebahagian daripada pengalaman sepanjang acara berlangsung.

Penganjuran edisi ke-12 itu menyaksikan elemen kreativiti tempatan dan cerita rakyat Asia Tenggara digabungkan dengan pendekatan hiburan antarabangsa dalam menghasilkan konsep seram yang lebih pelbagai.