GOMBAK - Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI) mempertimbangkan tindakan undang-undang bagi mencabar cadangan pembinaan loji insinerator di Batu Arang di sini, selain melancarkan kutipan dana awam berjumlah RM100,000 bagi membiayai usaha berkenaan.
Jurucakap JRTI, Abdul Hanan Abd Mokti berkata, tindakan undang-undang itu masih di peringkat perbincangan awal dan pihaknya sedang mendapatkan nasihat daripada firma guaman.
Menurutnya, antara pilihan dipertimbangkan termasuk mencabar Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).
"Selain itu, tindakan sama kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berhubung penukaran status tanah yang diperuntukkan untuk projek insinerator atau mencabar keputusan kerajaan Selangor meluluskan Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035.
"Segalanya masih terlalu awal kerana kami masih berbincang mengenai bentuk tindakan undang-undang yang akan diambil selain menentukan pihak yang akan dinamakan sebagai defendan sebelum dapat menganggarkan kos sebenar tindakan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Hanan memberitahu, berdasarkan kes terdahulu, pihaknya menjangkakan kos tindakan undang-undang itu tidak kurang daripada RM100,000.
Bagaimanapun katanya, kutipan dana itu bukan hanya untuk menampung kos guaman, sebaliknya turut digunakan bagi menggerakkan kempen kesedaran di seluruh negara mengenai isu pembinaan loji insinerator.
"Perjuangan ini panjang dan tidak berakhir dengan tindakan undang-undang semata-mata, sebaliknya kami mahu meningkatkan kesedaran di seluruh negara kerana isu ini bukan hanya mengenai Batu Arang, sebaliknya berpotensi memberi kesan kepada komuniti di seluruh negara," ujar beliau.
Penduduk Batu Arang, Foo Yin Lin, 56, berkata, mereka mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang masih meneruskan projek itu walaupun lebih 90 peratus responden dalam kajian impak sosial yang dimasukkan dalam laporan EIA membantah.
Katanya, lebih 12,000 bantahan terhadap laporan EIA turut dikemukakan pada Mei lalu.
"Kami membantah projek ini dan adakah suara kami tidak memberi apa-apa kesan hingga projek itu tetap diteruskan," soalnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, isu itu akan dibangkitkan beliau termasuk di Parlimen.
Katanya, kerajaan perlu menjelaskan mengapa laporan EIA berhubung projek itu tidak didedahkan kepada umum dan diklasifikasikan sebagai sulit.
Beliau berkata, teknologi waste-to-energy (WTE) bukan perkara baharu dan sudah digunakan di beberapa negara termasuk Eropah, Amerika Syarikat serta Taiwan.
Bagaimanapun katanya, negara terbabit mempunyai piawaian tinggi bagi memastikan teknologi itu dikendalikan dengan selamat.
Beliau turut mempersoalkan tahap pengurusan sisa pepejal ketika ini yang didakwanya masih belum meyakinkan untuk menyokong penggunaan teknologi berkenaan.
"Negara lain kini bergerak ke arah sifar sisa dan kitar semula, namun perlu melihat alternatif lain," katanya.
Beliau berkata, isu itu bukan hanya memberi kesan kepada penduduk Batu Arang kerana kawasan perumahan berhampiran termasuk Rawang dan Selayang turut berpotensi terjejas.