Korea Selatan catat 10 hari pertama Ogos paling panas dalam sejarah

Iklan
Korea Selatan mengalami musim panas yang mencatat rekod baharu tahun ini. -Agensi

SEOUL - Korea Selatan mengalami musim panas yang mencatat rekod baharu tahun ini apabila suhu purata seluruh negara, tidak termasuk Pulau Jeju, mencecah 29.1 darjah Celsius dalam tempoh 10 hari pertama Ogos, tertinggi pernah direkodkan, menurut Perkhidmatan Cuaca negara itu pada Selasa, lapor Agensi Berita Yonhap.

Bacaan itu menyamai purata 10 hari pada Ogos 2018, sekali gus menjadikan 10 hari pertama Ogos tahun ini tempoh paling panas dalam tempoh 53 tahun sejak 1973, apabila rangkaian pemerhatian cuaca diperluaskan ke seluruh negara, menurut Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA).

Iklan
Iklan

KMA berkata suhu maksimum harian purata dalam 10 hari pertama bulan ini ialah 34.4 darjah Celsius, kedua tertinggi selepas 34.7 darjah Celsius yang direkodkan pada 2018.

Suhu minimum harian purata, yang menjadi petunjuk kepada bahang pada waktu malam, ialah 24.8 darjah Celsius dalam tempoh sama, ketiga tertinggi pernah direkodkan selepas 25 darjah Celsius pada 2022 dan 24.9 darjah Celsius pada 2018.

Iklan

Suhu tertinggi dalam tempoh 10 hari itu ialah 42.5 darjah Celsius, yang dicatatkan di bandar Yangsan, tenggara negara itu pada 1.26 tengah hari, 2 Ogos.

Menurut KMA, ia juga merupakan suhu tertinggi yang pernah direkodkan di negara itu sejak 1904, ketika pemerhatian meteorologi moden bermula.

Iklan

Secara keseluruhan, suhu maksimum harian melebihi 40 darjah Celsius di 32 lokasi di seluruh negara dalam tempoh 10 hari pertama bulan ini, menurut KMA. - Bernama