'Nak bahas saya atau Tabung Haji?' - Anwar

Iklan
Anwar Ibrahim - Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak tindakan pembangkang yang didakwa lebih memberi tumpuan kepada ketidakhadiran beliau dalam Sidang Khas Dewan Rakyat berbanding isu pengurusan dan pengkhianatan terhadap Tabung Haji (TH).

Dalam hantaran di media sosialnya, Anwar yang kini sedang menjalani rawatan perubatan berkata, perkara utama yang sepatutnya diberi perhatian ialah Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, bukannya keadaan atau kehadiran beliau dalam persidangan khas berkenaan.

Iklan
Iklan

“Nak bahas tentang saya, atau nak bahas tentang Tabung Haji? Nak ambil tahu tentang saya atau nak ambil tahu tentang pengkhianatan terhadap Tabung Haji?” katanya pada Selasa.

Menurut Anwar, isu berkenaan membabitkan kepentingan umat Islam dan tidak sepatutnya dijadikan ruang untuk permainan politik.

Iklan

“Orang Melayu Islam telah dikhianati, tapi masih ada yang mahu main drama politik? Apatah lagi datang daripada pihak yang melaung-laungkan tentang Melayu Islam,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembangkang keluar dewan, protes sidang khas RCI Tabung Haji

Iklan

Keluar Dewan: Pembangkang tidak serius isu RCI Tabung Haji – Zaliha

Ahli Parlimen Bersatu tidak keluar dewan, mahu tempoh bahas RCI TH dipanjangkan

Beliau turut mempersoalkan pendirian Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Pas berhubung kepentingan pendeposit Tabung Haji, khususnya golongan yang bekerja keras mengumpulkan simpanan bagi menunaikan Rukun Islam kelima.

“Apakah PN yang ditunjangi Pas tidak mementingkan kepentingan orang susah, nelayan, petani, guru, polis, tentera, pesara yang mengerah keringat untuk menyimpan wang dalam Tabung Haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima?” soalnya.

Anwar berkata, tumpuan sepatutnya diberikan kepada kepentingan golongan berkenaan yang menjadi pendeposit Tabung Haji dan memastikan amanah mereka terus dipelihara.

Hantaran itu dibuat ketika Sidang Khas Dewan Rakyat berlangsung bagi membahaskan Laporan RCI Tabung Haji.

Anwar sebelum ini memaklumkan beliau tidak dapat hadir ke sidang khas berkenaan atas faktor kesihatan, namun akan mengikuti perbahasan secara dekat.

Sidang khas berkenaan diteruskan dengan perbahasan Laporan RCI Tabung Haji selepas Speaker Dewan Rakyat menolak permintaan supaya persidangan ditangguhkan susulan ketidakhadiran Perdana Menteri.