KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebahagian besar ahli Parlimen blok Pembangkang bertindak keluar dewan selepas usul penangguhan sidang khas Dewan Rakyat untuk membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) ditangguhkan, ditolak Speaker, Tan Sri Johari Abdul.
Sebelum sesi penerangan menteri bermula, Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN - Kota Bharu) bangkit dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3) susulan ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun Johari menegaskan, ia tetap diteruskan seperti dijadualkan dengan sesi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
"Kita mempunyai Timbalan Perdana Menteri di sini. Adakah kita akan menurunkan taraf kedudukan Timbalan Perdana Menteri? Tidak.
"Timbalan Perdana Menteri mewakili Kabinet dan begitu juga dengan menteri-menteri lain," jelasnya.
Beliau berkata, prosiding Dewan Rakyat direkodkan dan boleh diteliti dengan lebih lanjut oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang berkaitan.
Takiyuddin kemudian memaklumkan, pihak Pembangkang tidak akan mengikuti perbahasan tersebut sebelum Johari memutuskan bahawa mereka yang berhasrat untuk tidak mengikuti perbahasan boleh meninggalkan dewan.
Sementara itu dalam sesi sidang media di bangunan Parlimen, Takiyuddin menjelaskan, keputusan ahli-ahli Parlimen Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) itu ekoran keputusan kerajaan yang hanya menjadikan laporan RCI TH sebagai sesi penerangan menteri.
Ujar beliau, keadaan itu berbeza dengan proses RCI sebelum ini yang dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan dan seterusnya dibuat keputusan melalui undian.
"Ini bukan saja tidak ada pengundian, tetapi di 'downgrade' kepada penerangan menteri sahaja yang pada bila-bila masa boleh dibuat semasa persidangan biasa.
"Seorang menteri beri penerangan, ahli Parlimen boleh bertanya dan sebagainya. Itu sahaja tarafnya," ujarnya.