Bimbang dibunuh, Trump guna penerbangan rahsia keluar Turkiye

Iklan
Trump. Foto AFP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dilaporkan menggunakan penerbangan tentera secara rahsia ketika meninggalkan Turkiye bulan lalu selepas menerima ancaman pembunuhan daripada Iran.

Menurut laporan The Washington Post yang dipetik Reuters, Trump pada mulanya dilihat menaiki pesawat Air Force One lama di Ankara, sebelum dipindahkan secara senyap ke sebuah pesawat tentera lebih kecil, Air Force C-32A.

Iklan
Iklan

Tindakan itu dipercayai sebahagian daripada operasi keselamatan bagi melindungi Trump daripada ancaman yang dianggap boleh dipercayai.

Trump berada di Ankara untuk menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan menggunakan pesawat Boeing 747 baharu yang disumbangkan Qatar untuk penerbangan pergi.

Iklan

Namun, beliau secara mengejut menggunakan Air Force One lama ketika meninggalkan Turkiye, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai aspek keselamatan pesawat baharu berkenaan.

Sebelum berlepas dari Ankara, Trump berkata menerusi platform Truth Social bahawa beliau akan menggunakan pesawat Air Force One lama berwarna biru muda untuk penerbangan ke RAF Mildenhall, Britain, atas alasan 'mengenang masa lalu'.

Iklan

Pesawat baharu yang disumbangkan Qatar itu turut dijadualkan berhenti di pangkalan udara sama bagi membolehkan anggota tentera AS melihat pesawat berkenaan.

Bagaimanapun, selepas Trump dilihat menaiki Air Force One lama di hadapan kamera, beliau dipercayai dipindahkan secara rahsia menggunakan trak katering lapangan terbang ke pesawat C-32A, menurut The Washington Post.

Laporan itu memetik seorang pegawai AS yang mengetahui operasi berkenaan serta bahan sokongan yang diteliti akhbar tersebut.

Operasi mengelirukan itu dipercayai dilaksanakan selepas wujud ancaman yang boleh dipercayai terhadap Trump.

Situasi sama pernah berlaku pada 2000 ketika Presiden AS ketika itu, Bill Clinton, menggunakan pesawat eksekutif tanpa tanda untuk terbang ke Pakistan, manakala pesawat rasmi Air Force One dihantar sebagai 'umpan'.

Dalam penerbangan dari Ankara kali ini, wartawan yang menyangka mereka menaiki pesawat bersama Trump dilaporkan diminta menutup langsir tingkap di ruang media.

Malah, sebahagian kakitangan Rumah Putih juga dipercayai menyangka Trump berada dalam pesawat berkenaan.

Ketika ditanya kemudian mengapa mereka diminta menutup langsir tingkap sepanjang penerbangan, Trump berkata mereka 'mungkin dalam penerbangan berbahaya'.

Beliau kemudian berkata:"Tetapi kalau saya pergi, kamu pergi. Betul?"

Pesawat C-32A yang membawa Trump tiba di Britain kira-kira jam 10.20 malam waktu tempatan, manakala Air Force One lama yang membawa media dilaporkan tiba beberapa minit kemudian.

Bagaimanapun, The Washington Post berkata tidak jelas bagaimana Trump dipindahkan semula dari C-32A ke Air Force One lama.

Rakaman Reuters pada 8 Julai menunjukkan Trump menaiki Air Force One lama di Ankara dengan kumpulan wartawan yang mengiringinya.

Laporan kumpulan wartawan pada hari berkenaan menyatakan Trump turun dari pesawat kira-kira jam 10.56 malam waktu tempatan.

Trump sempat memberi isyarat keamanan kepada wartawan sebelum menghabiskan masa menyapa anggota tentera dan kemudian berjalan menuju pesawat baharu yang disumbangkan Qatar.

Mengulas laporan penerbangan rahsia itu, Pengarah Komunikasi Rumah Putih, Steve Cheung berkata, pesawat yang disumbangkan Qatar telah dilengkapi protokol keselamatan berperingkat tinggi bagi menjamin keselamatan Presiden dan kakitangannya.

"Seperti yang dinyatakan Presiden baru-baru ini, terdapat ramai musuh Amerika yang mengancam beliau dan kami menggunakan setiap kaedah yang ada untuk menangani ancaman tersebut," katanya.

Pentagon bagaimanapun belum memberikan komen terhadap laporan berkenaan.

Pesawat baharu itu ialah Boeing 747 yang diberikan Qatar kepada AS pada tahun lalu sebelum diubah suai oleh kontraktor pertahanan, L3Harris Technologies.

Pesawat dengan kemasan warna merah, putih, biru gelap dan emas yang dipilih Trump itu dirancang sebagai pesawat sementara bagi kegunaan Presiden ketika Boeing berdepan kelewatan menyiapkan pesawat Air Force One generasi baharu.-Agensi