Tular bukan alasan untuk langgar batasan!

Iklan
Hari ini, apa sahaja boleh menjadi bahan media sosial. Ada tontonan, komen dan perkongsian, maka dianggap berjaya. Gambar hiasan Bernama.

MERAK Jalanan bukanlah pakar pemasaran. Jauh sekali mahu mengajar orang bagaimana hendak menjual produk.

Tetapi tertanya-tanya juga, sejak bila marketing jadi alasan untuk mempamerkan kemesraan antara lelaki dan wanita yang bukan pasangan suami isteri di khalayak ramai?

Iklan
Iklan

Dunia pemasaran memang perlukan kreativiti. Hendak buat orang berhenti menatal, tengok sampai habis dan bercakap tentang sesuatu produk, semuanya penting.

Bagaimanapun, kalau aksi atau kemesraan antara dua individu berlainan jantina dijadikan ‘umpan’, Merak Jalanan rasa lebih elok kita berhenti sekejap dan fikir. Betulkah itu sahaja cara yang ada?

Iklan

Hari ini, apa sahaja boleh menjadi bahan media sosial. Ada tontonan, komen dan perkongsian, maka dianggap berjaya.

Masalahnya, media sosial bukan bilik tertutup.

Iklan

Apa yang dimuat naik boleh ditonton sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak, remaja dan keluarga.

Apabila sesuatu perlakuan dipapar secara berulang kali atas nama kandungan atau pemasaran, lama-kelamaan ia boleh dianggap perkara biasa.

Bukan bermaksud pemasaran perlu membosankan, kreativiti tetap diperlukan. Cuma kreatif biarlah kreatif betul-betul!

Jangan dek kerana mahu produk menjadi sebutan, batas pergaulan rela diketepikan.

Akhirnya, marketing bukan sekadar tentang mendapatkan perhatian tetapi bagaimana perhatian itu diperoleh.

Hendak tular, silakan. Mahu kreatif, dipersilakan tetapi jangan sampai kerana mengejar perhatian audien, batas pula yang terkorban.

Itu bukan lagi soal marketing, sebaliknya adalah pertimbangan mahkluk yang digelar manusia.