Kurus itu nikmat, belum tentu sihat

Iklan
Kesihatan tidak boleh diukur hanya melalui bentuk fizikal. Gambar hiasan

BARU-BARU ini penulis bertemu dengan seorang rakan yang sudah lama tidak berjumpa, namun alangkah terkejutnya penulis kerana rakan ini yang dahulunya berbadan gempal tetapi kini sudah kurus.

Rakan ini berkongsi kisahnya menurunkan berat badan daripada 120 kilogram (kg) menjadi hanya 78kg sahaja. Katanya, dia mengamalkan pelbagai jenis diet yang maklumatnya mudah diperoleh di media sosial.

Iklan
Iklan

Tetapi apa yang membimbangkan penulis ialah penampilan rakan ini yang kelihatan tidak sihat walaupun berjaya menurunkan berat badan dalam tempoh tidak sampai setahun.

Teringat penulis pada 7 Oktober tahun lalu, seorang wanita warga Poland berusia 27 tahun meninggal dunia di sebuah pusat peranginan di Bali, Indonesia selepas mengamalkan diet ekstrem berasaskan buah-buahan semata-mata sehingga berat badannya susut kepada hanya 22kg.

Iklan

Sebelum itu pada 23 Julai tahun lalu juga, seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di China nyaris maut selepas mengamalkan diet ekstrem selama dua minggu, hanya makan sayur dalam jumlah kecil dan mengambil ubat julap semata-mata mahu muat memakai gaun baharu sempena hari jadinya.

Sebenarnya kesihatan diri bukanlah sesuatu yang boleh dibuat main terutama pada masa kini yang terlalu mudah untuk kita terdedah kepada penyakit. Dalam masyarakat hari ini, tubuh langsing sering dianggap lambang kesihatan, kecantikan dan gaya hidup ideal.

Iklan

Media sosial dipenuhi gambar individu bertubuh kurus yang dijadikan inspirasi, manakala pelbagai produk serta kaedah penurunan berat badan dipromosikan seolah-olah semakin kurus, semakin sihat. Hakikatnya, tanggapan itu tidak semestinya benar. Berat badan yang rendah bukan ukuran mutlak tahap kesihatan seseorang.

Ramai beranggapan seseorang yang tidak mengalami masalah berat badan pasti bebas daripada penyakit.

Namun, realitinya terdapat individu bertubuh kurus yang berdepan masalah kolesterol tinggi, tekanan darah tidak terkawal, diabetes, penyakit jantung malah kekurangan zat makanan.

Keadaan ini dikenali sebagai thin outside, fat inside (TOFI), iaitu seseorang kelihatan kurus tetapi mempunyai pengumpulan lemak berlebihan di sekitar organ dalaman yang meningkatkan risiko pelbagai penyakit kronik.

Lebih memburukkan keadaan apabila obsesi untuk menjadi kurus mendorong sesetengah individu mengamalkan diet ekstrem.

Ada yang sanggup mengurangkan pengambilan makanan secara berlebihan, bergantung kepada pil kurus tanpa pengawasan atau mengikuti trend diet yang tidak seimbang.

Walaupun berat badan berjaya diturunkan dalam tempoh singkat, tubuh sebenarnya kehilangan nutrien penting seperti protein, zat besi, kalsium dan vitamin yang diperlukan untuk fungsi organ, sistem imun serta kesihatan tulang.

Kesihatan tidak boleh diukur hanya melalui bentuk fizikal. Pemakanan seimbang, aktiviti fizikal yang konsisten, tidur mencukupi dan kesihatan mental yang baik merupakan komponen yang jauh lebih penting.

Individu yang mempunyai sedikit lebihan berat badan tetapi aktif bersenam, mengamalkan pemakanan sihat serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala berkemungkinan lebih sihat berbanding individu kurus yang mengabaikan gaya hidup sihat.

Masyarakat juga perlu mengubah persepsi semua individu berbadan besar tidak sihat, manakala semua yang kurus pasti cergas. Setiap individu mempunyai faktor genetik, kadar metabolisme dan gaya hidup yang berbeza.

Justeru, penilaian kesihatan perlu dibuat secara menyeluruh melalui pemeriksaan kesihatan, bukan sekadar melihat angka pada penimbang.

Kesimpulannya, kurus sememangnya menjadi satu kelebihan dari sudut keyakinan diri dan mengurangkan risiko penyakit tertentu jika dicapai melalui cara yang betul, namun kurus bukan tiket automatik kepada kesihatan yang baik. Apa yang penting tubuh mendapat nutrisi mencukupi, kekal aktif dan bebas daripada risiko penyakit.

Akhirnya, matlamat sebenar bukanlah menjadi kurus, tetapi menjadi individu yang benar-benar sihat, cergas dan hidup berkualiti.

*Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah Sub Editor Sinar Harian