Dua mangsa culik dikurung dalam bilik, tangan bergari

Iklan
M Kumar (tengah) ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Isnin.

KUALA LUMPUR – Warga asing menjadi sasaran utama sindiket penculikan yang ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan empat mangsa termasuk tiga warga China dan seorang warga Singapura diselamatkan, Jumaat lalu.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pihaknya percaya sindiket terbabit menjadikan warga asing sebagai sasaran kerana mereka dipercayai lebih mudah diperdaya melalui tawaran pekerjaan atau teman sosial yang dibuat menerusi media sosial.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada terdapat mangsa lain yang pernah menjadi sasaran kumpulan berkenaan.

"Kemungkinan ada kes lain, kita tidak pasti, sasatan masih berjalan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Isnin.

Iklan

Mengulas lanjut mengenai serbuan dijalankan, katanya, dua mangsa diselamatkan dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Amira, Telaga Bata, Alor Setar, Kedah pada Jumaat lalu.

"Semasa pemeriksaan, kita menemui seorang mangsa lelaki warga Singapura berusia 72 tahun dalam sebuah bilik dalam keadaan tangan bergari dan mata ditutup.

Iklan

"Dalam bilik kedua pula, kita menemui seorang lagi mangsa wanita warga China yang turut dikurung dalam keadaan tangan bergari dan mata ditutup," katanya.

Beliau berkata, mangsa wanita warga China itu baru tiba di Malaysia pada 5 Ogos lalu sebelum diselamatkan polis dua hari kemudian.

Katanya, hasil siasatan lanjut turut mendapati kumpulan sama dipercayai terbabit dalam dua kes penculikan di Kuala Lumpur yang membabitkan dua lagi warga China.

"Dalam kes di Kuala Lumpur, salah seorang mangsa berjaya melepaskan diri dan kemudian membuat laporan polis.

"Seorang lagi mangsa berjaya diselamatkan polis kedua-dua kejadian itu berlaku pada Julai lalu," katanya.

Menurutnya, seramai enam individu terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan, empat lelaki warga China dan seorang wanita warga China berusia lingkungan 30an ditahan.

"Seorang suspek wanita warga China itu dipercayai antara individu yang mendampingi mangsa lelaki warga Singapura sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas.

"Perempuan yang kita tahan itu adalah salah seorang suspek yang telah berjumpa dengan mangsa Singapura ketika mangsa sampai di Bayan Lepas.

"Suspek dipercayai berhubung dengan mangsa sebelum itu melalui media sosial dan memperkenalkan diri sebagai kenalan," katanya.

Beliau berkata, polis setakat ini tidak mengesan penglibatan anggota kumpulan kongsi gelap tempatan dalam sindiket terbabit.

"Seorang suspek warga tempatan yang ditahan mempunyai urin negatif dan tiada rekod jenayah, manakala empat lelaki warga China didapati positif dadah.

"Manakala seorang lagi suspek wanita warga China didapati negatif, setakat ini peranan suspek warga tempatan masih dalam siasatan," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek direman dari 7 hingga 14 Ogos bagi membantu siasatan.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penculikan tanpa mengira kewarganegaraan mangsa atau suspek, tiada orang yang terlepas daripada undang-undang, di bawah undang-undang, semua adalah sama.

"Sekiranya sindiket ini ingat mereka boleh terlepas kerana sasaran mereka warga asing, saya beri amaran, tiada kompromi, kita akan ambil tindakan mengikut peruntukan dan lunas undang-undang tanpa sebarang kompromi," katanya.

Antara senjata dipercayai digunakan suspek ketika serbuan dijalankan pada Jumaat lalu.

Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan individu tidak dikenali yang menawarkan pekerjaan atau perkhidmatan menerusi media sosial.

"Saya nasihatkan netizen supaya mengelakkan sebarang perhubungan atau perjumpaan dengan mana-mana pihak yang tidak dikenali dan hanya dikenal melalui media sosial.

"Sentiasalah ada perasaan syak wasangka dan jangan percaya dengan tawaran yang dibuat oleh mana-mana individu yang tidak dikenali," katanya.