PUTRAJAYA - Istilah kafir harbi tidak sesuai digunakan dalam konteks Malaysia kerana seluruh warganegara tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan serta berkongsi tanggungjawab sebagai rakyat dan warga setanah air, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata, perkara itu adalah antara rumusan yang dicapai dalam Sidang Meja Bulat Kafir Harbi di Malaysia: Satu Perbincangan, yang membincangkan isu kafir harbi di Malaysia secara khusus hari ini.
"Setelah perbincangan, pembentangan dan juga pertukaran pandangan, kita secara umumnya merumuskan istilah kafir harbi di Malaysia tidak sesuai kerana warganegara Malaysia seluruhnya termaktub di bawah Perlembagaan (Persekutuan) dan kita semua adalah masyarakat dan warga Malaysia sewarganegara, setanah air.
"Saya rasa istilah yang digunakan dalam konteks kafir harbi itu tidak sesuai lagi berada di negara kita kerana semuanya sudah pun bersama-sama dan mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan dan membangunkan negara ini,” katanya kepada pemberita selepas sidang meja bulat itu di sini.
Sehubungan dengan itu, Zulkifli berkata, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) akan bekerjasama dengan agensi dan kementerian lain, untuk mempergiat usaha penerangan dan pencerdasan masyarakat mengenai isu tersebut.
Beliau berkata, pendekatan secara bersama itu penting bagi memastikan usaha memperkukuh integrasi nasional dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak terhad kepada sektor agama semata-mata.
"Kita ingin memberikan nasihat kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memperkukuh perpaduan, merapatkan ukhuwah dan menghormati antara satu sama lain di samping memahami budaya, agama supaya kita dapat benar-benar memperkukuh perpaduan untuk negara kita Malaysia," katanya. - Bernama