PN jangan terlalu teruja mahu rampas kerusi PH - Penerangan PKR Perak

Iklan
Azam berkata, analisis politik yang dibuat PN bahawa gabungan itu berpotensi merampas enam kerusi DUN PH tidak boleh dijadikan ukuran mutlak.

IPOH – Perikatan Nasional (PN) dinasihatkan supaya tidak terlalu teruja membuat kiraan kononnya mampu merampas beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Harapan (PH) di Perak jika mereka bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Azam Afandi berkata, analisis politik yang dibuat PN bahawa gabungan itu berpotensi merampas enam kerusi DUN PH tidak boleh dijadikan ukuran mutlak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan pilihan raya tidak boleh dikira hanya dengan mencampurkan undi PN dan BN pada PRU15 sebelum menganggap keseluruhan undi berkenaan akan berpindah secara automatik kepada satu gabungan.

"Malah, ada satu persoalan lebih besar yang perlu dijawab terlebih dahulu iaitu adakah PN benar-benar pasti BN bersetuju dan mahu membentuk gabungan politik bersama mereka?" katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar seperti dilaporkan Sinar Harian pada Ahad bahawa PN dan BN berpotensi merampas sekurang-kurangnya enam kerusi DUN di Perak yang kini dikuasai PH sekiranya kedua-dua gabungan itu mencapai muafakat politik pada pilihan raya akan datang.

Azam berkata, sekiranya formula kekuatan berdasarkan PRU15 digunakan dalam menentukan pembahagian kerusi antara PN dan BN ia turut menimbulkan persoalan mengenai pihak yang perlu berkorban lebih banyak.

Iklan

Katanya, sebahagian besar kerusi yang secara tradisinya menjadi kekuatan UMNO dan BN telah beralih kepada PN dalam PRU15 lalu.

"Jika kerusi ditentukan berdasarkan siapa lebih kuat berdasarkan keputusan pilihan raya lalu, secara matematiknya banyak kawasan Melayu akan memberikan kelebihan rundingan kepada PN.

"Malah, sekiranya gabungan tersebut berjaya membentuk kerajaan negeri, siapa pula yang akan mengetuai kerajaan tersebut? Adakah UMNO dan BN bersedia menerima kemungkinan jawatan Menteri Besar Perak akhirnya berada di tangan PN?" soalnya.

Beliau berkata, pimpinan dan akar umbi UMNO pastinya mempunyai pertimbangan politik tersendiri dan tidak semudah menyerahkan kerusi tradisi atau kedudukan kepimpinan kerajaan negeri kepada parti lain hanya berdasarkan formula matematik.

Sehubungan itu, Azam berkata, PN sepatutnya menyelesaikan terlebih dahulu persoalan sama ada BN benar-benar bersedia untuk berkongsi 'kalkulator' politik berkenaan.

"Politik bukan hanya soal tambah undi, tetapi juga soal kepercayaan, keserasian, pembahagian kuasa dan penerimaan akar umbi.

"Apabila PN bercakap mengenai kestabilan kerajaan, rakyat juga mempunyai hak untuk melihat rekod sejarah termasuk episod ketidakstabilan politik selepas 2020 apabila berlaku pertukaran kerajaan tanpa melalui pilihan raya umum dan perubahan kepimpinan negara," katanya.

Dalam pada itu, Azam berkata, PKR Perak tetap mengambil serius analisis berkenaan dan akan memberi perhatian kepada lima kerusi yang kini diwakili parti itu termasuk Tualang Sekah, Hulu Kinta, Simpang Pulai, Hutan Melintang dan Teja.

Semalam media melaporkan enam kerusi yang dikenal pasti mempunyai potensi terbaik untuk berlaku perubahan sokongan daripada PH kepada gabungan PN-BN ialah DUN Tualang Sekah, DUN Hulu Kinta, DUN Tebing Tinggi, DUN Sungai Rapat, DUN Hutan Melintang dan DUN Teja.