GEORGE TOWN – Penasihat DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan pendirian kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang yang terus menyokong peranan UMNO dalam pentadbiran kerajaan negeri, meskipun terdapat kenyataan yang didakwa menyerang DAP dan PKR.
Beliau berkata, pendirian tersebut sukar difahami apabila tiada maklum balas diberikan terhadap kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang didakwa membuat tuduhan tidak berasas terhadap DAP dan PKR berkaitan isu politik identiti.
Menurutnya, Reezal Merican sebelum ini menafikan Barisan Nasional (BN) mengeksploitasi politik identiti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebaliknya mendakwa DAP dan PKR hanya memberi tumpuan kepada satu kaum.
“Bagaimanakah pendekatan kepimpinan politik PH Pulau Pinang ini menyampaikan mesej kepada para pengundi bahawa kita akan bertindak tegas untuk mempertahankan maruah dan martabat kita sebagai kerajaan Pulau Pinang serta sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat?” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Isnin.
Pada Sabtu, PH Pulau Pinang memutuskan untuk meneruskan kerjasama dengan BN dan UMNO dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang.
Keputusan itu diumumkan Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow selepas mempengerusikan mesyuarat PH negeri pada petang Sabtu.
Menurutnya, kesepakatan itu termasuk mengekalkan Exco BN iaitu Datuk Rashidi Zinol yang memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang selaras dengan persefahaman kerjasama atau 'electoral pact' yang terjalin ketika PRN 2023.
Kon Yeow berkata, PH Pulau Pinang turut mengambil maklum pendirian di peringkat kebangsaan bahawa Kerajaan Perpaduan akan kekal sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Dalam pada itu, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, perbezaan pandangan politik antara parti dalam kerajaan tidak seharusnya menjadi alasan untuk membiarkan tuduhan yang tidak berasas terhadap parti komponen PH tanpa sebarang jawapan.
Beliau yang juga ADUN Air Putih berkata, prinsip dan maruah parti perlu dipertahankan khususnya apabila pemimpin yang dipilih rakyat mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan antara parti dalam kerajaan negeri.
“Adalah sukar untuk difahami apabila kita bersedia meneruskan peranan UMNO dalam kerajaan negeri tetapi pada masa sama tiada pendirian yang jelas terhadap kenyataan yang menyerang DAP dan PKR.
“Persoalannya, apakah mesej yang kita sampaikan kepada rakyat apabila kita tidak mempertahankan pendirian dan maruah kita sendiri?” katanya.
Beliau menambah, kerjasama dalam kerajaan perlu berasaskan sikap saling menghormati bukannya dengan mengorbankan prinsip atau membiarkan mana-mana pihak membuat tuduhan terhadap rakan sendiri tanpa jawapan.
“Kerjasama politik tidak bermakna kita perlu berdiam diri apabila terdapat tuduhan yang tidak berasas. Kita masih perlu mempertahankan prinsip dan menjelaskan pendirian kepada rakyat,” katanya.