Empat lelaki bebas tuduhan cederakan peguam

Iklan
Ee Seong (tengah) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan menyerang seorang peguam dengan menggunakan besi, dua tahun lalu.

GEORGE TOWN - Tiga eksekutif pemasaran dan seorang ahli perniagaan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret 3 di sini daripada pertuduhan menyerang seorang peguam dengan menggunakan besi, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh, Yeoh Ee Seong, 48, Ng Weng Kooi, 43, Koay Beng Ghee, 38, dan Teh Eng Tat, 38, dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri selepas meneliti keterangan sembilan saksi pendakwaan serta 42 eksibit yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.

Eng Tat (kiri) dan Beng Ghee.

Iklan

Nadratun turut memerintahkan wang jaminan kesemua tertuduh dikembalikan.

Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati terdapat percanggahan, kelompangan dan naratif tidak konsisten dalam kes pendakwaan yang menjejaskan kebolehpercayaan keterangan saksi khususnya berkaitan pengecaman identiti pelaku.

Iklan

Mahkamah turut mendapati kejadian serangan berlaku dalam tempoh amat singkat iaitu kurang 10 saat manakala pelaku dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) didapati memakai pelitup muka.

"Berhubung pengecaman terhadap salah seorang tertuduh, mahkamah berpandangan ciri seperti ‘puffy eyes’ dan 'eyebag' yang ketara semata-mata tidak mencukupi untuk mengaitkannya secara konklusif dengan kejadian berkenaan.

"Bagi seorang lagi tertuduh, terdapat percanggahan ketara apabila saksi utama pendakwaan pada awalnya menyatakan pelaku tidak memakai pelitup muka namun bersetuju ketika pemeriksaan balas bahawa kedua-dua pelaku sebenarnya memakai pelitup muka," katanya.

Weng Kooi.

Nadratun menambah, mahkamah turut menolak pergantungan pendakwaan terhadap keterangan keadaan yang mengaitkan seorang tertuduh dengan sebuah Toyota Vios putih yang dilihat di pandu lalu McDonald’s kira-kira sejam sebelum kejadian.

"Keterangan itu terlalu jauh untuk membina rantaian bukti yang lengkap bagi mengaitkan tertuduh dengan kejadian jenayah berkenaan.

"Kemampuan saksi utama membuat pengecaman terperinci ketika kejadian berlaku dalam keadaan cemas dan hanya mengambil masa beberapa saat juga dipersoalkan.

"Rakaman CCTV yang dikemukakan pendakwaan juga tidak dapat menunjukkan wajah pelaku dengan jelas, walaupun pakaian mereka dapat dikenal pasti," ujarnya.

Tambah beliau, mahkamah mendapati pakaian yang dirampas daripada tertuduh pula mempunyai perbezaan dengan pakaian yang dipakai pelaku dalam rakaman CCTV.

Sementara itu, bagi pertuduhan terhadap Ee Seong, mahkamah mendapati pendakwaan hanya berjaya menunjukkan wujudnya motif susulan perselisihan dengan mangsa, namun gagal mengemukakan bukti langsung atau tidak langsung bahawa tertuduh merancang, mengarahkan atau bersubahat dalam serangan itu.

Mengikut pertuduhan, Ee Seong dituduh bersubahat dengan Beng Ghee, Eng Tat dan Weng Kooi dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Beh Hong Shien, 39, menggunakan sebatang besi di tepi Jalan Persiaran Karpal Singh di sini pada jam 9.50 pagi, 22 Oktober 2024.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini manakala Beng Ghee, Eng Tat dan Weng Kooi diwakili peguam, Muhamad Asri Abdul Hamid sementara Ee Seong diwakili tiga peguam, Mohd Khairul Fairuz, Datuk Suhaimi Ibrahim dan Marcia Geraldine Lopez.

Sebelum ini, Beng Ghee, Eng Tat dan Weng Kooi didakwa bersubahat dengan seorang lagi lelaki yang masih bebas, namun mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan berkenaan.

Ketiga-tiga lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menegaskan motif semata-mata tanpa bukti persubahatan yang kukuh tidak mencukupi untuk membuktikan kesalahan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan.