KUALA LANGAT - Seorang pekerja penyelenggaraan ditemui lemas dalam tangki kolam menara penyejuk di Loji Janakuasa Kuala Langat di sini pada Isnin.
Mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 34 tahun ditemukan pada jam 4 pagi selepas hampir sembilan jam operasi pencarian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, sepasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting telah dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 7.26 petang, Ahad.
Menurutnya, mangsa dikatakan telah terjatuh ke dalam tangki penyimpanan air.
"Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP KLIA dan BBP Pelabuhan Klang turut digerakkan ke lokasi kejadian.
"Rakan mangsa kemudiannya kembali ke lokasi selang 15 minit dan mendapati mangsa hilang," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pada awalnya rakan mangsa mempercayai mangsa ke bilik air sebelum mengesyaki mangsa berkemungkinan terjatuh.
Katanya, rakan mangsa telah memaklumkan kepada penyelia sebelum menghubungi bomba untuk tindakan selanjutnya.
Susulan itu, pengosongan tangki kolam pertama dilakukan namun mangsa gagal dijumpai sebelum operasi diteruskan dengan menyedut keluar air bagi pengosongan tangki kolam kedua sedalam 10 meter dan berjaya menemukan mangsa.
"Mangsa disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," ujarnya.