KOTA BHARU - Pas mengesahkan akan mengundang pimpinan UMNO hadir ke Muktamar kali ke 72 parti itu di Kelantan yang dijadual bermula 2 hingga 5 September ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jemputan itu dibuat susulan UMNO dilihat sebagai rakan kerjasama politik parti berkenaan.
Menurut beliau, jemputan turut akan diberikan kepada pimpinan sayap UMNO untuk menghadiri Muktamar.
"Ya, dalam Muktamar Pas Pusat ini kita akan jemput pimpinan UMNO. Dewan-Dewan akan jemput pergerakan sayap-sayap UMNO," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Panatia Induk Muktamar Tahunan Pas Kelantan Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) di sini pada Ahad malam.
Ujar Takiyuddin, surat jemputan rasmi akan dihantar kepada Setiausaha Agung UMNO untuk menjemput pimpinan tertinggi parti itu dalam jumlah yang akan ditentukan kemudian.
"Terpulang pada parti itu sama ada hantar Presiden, Timbalan, Naib Presiden atau Setiausaha Agung," katanya.
Menurut beliau, Pas turut akan menjemput pimpinan parti-parti politik lain, khususnya daripada Perikatan Nasional (PN), selain ahli-ahli Parlimen untuk menghadiri Muktamar berkenaan.
Tambahnya, surat jemputan rasmi kepada pimpinan UMNO masih belum dihantar kerana terdapat kira-kira 20 hari lagi sebelum tarikh akhir persiapan Muktamar.
"Kita ada 20 hari lagi untuk deadline kita. Akan menyusul tetapi saya mengesahkan dalam mesyuarat kita akan jemput," katanya.
Dalam perkembangan sama, Takiyuddin memberitahu, Pas masih menerima usul daripada kawasan dan Dewan-Dewan peringkat negeri untuk dibawa ke Muktamar Pas Pusat.
Katanya, proses berkenaan masih berlangsung berikutan terdapat kawasan yang masih belum menyelesaikan mesyuarat agung selepas ditangguhkan susulan pilihan raya.
"Sebab kita pun baru habis mesyuarat kawasan. Ada kawasan yang masih mengadakan mesyuarat kerana ditangguhkan pilihan raya di Johor.
"Saya difahamkan hari ini Pas Muar baru mengadakan mesyuarat agung. Begitu juga Negeri Sembilan kita tangguh sebelum ini sebab pilihan raya. Ia belum selesai lagi," katanya.
Menurut Takiyuddin, Pas turut akan mengadakan sambutan sederhana sempena ulang tahun ke-75 penubuhan parti itu pada malam 4 Ogos di PUTIK.
Katanya lagi, Muktamar Pas tahun ini tidak melibatkan pemilihan kepimpinan kerana ia bukan tahun pemilihan parti.
"Tahun ini tak ada. Tahun ini bukan tahun pemilihan kita. Jadi muktamar tahunan biasalah," katanya.