MELAKA - Tindakan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak konsisten berhubung pendirian kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) di negeri ini mengundang sindiran Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Menerusi perkongsian di Facebook pada Ahad, Akmal memaparkan dua kenyataan PH yang dilihat tidak selari dengan pendirian yang dibuat sebelum ini.
“Julai 2026, PH Melaka muktamad keluar kerajaan. Ogos 2026, nak bincang rundingan kerusi bersama. Macam ni pun ada ya,” katanya ringkas.
Dua keratan kenyataan yang dikongsikan itu masing-masing berkaitan pengumuman PH Melaka berhubung keputusan menarik diri daripada kerajaan negeri pada Julai lalu dan kenyataan terbaharu Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil pada Ahad yang memaklumkan PH menyambut baik kesediaan BN untuk berunding mengenai pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pada 15 Julai lalu, PH Melaka mengumumkan menarik sokongan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka selepas tidak bersetuju dengan pindaan Perlembagaan Negeri berkaitan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Sementara itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi pada Ahad memaklumkan PH menyambut baik kesediaan BN untuk mengadakan rundingan berkaitan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN Melaka.
Perkembangan itu dilihat menimbulkan persoalan mengenai hala tuju hubungan politik PH dan BN di Melaka menjelang PRN yang perlu diadakan sebelum tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 30 Disember ini.
PRN Melaka dijangka menjadi medan persaingan antara beberapa gabungan politik selain terdapat spekulasi ia mungkin diadakan seawal Oktober ini.
Melaka mempunyai 28 kerusi DUN, dengan BN memenangi 21 kerusi pada PRN Melaka 2021, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.