Bunga Kenanga diangkat sebagai simbolik identiti Terengganu

Iklan
Bunga Kenanga

​KUALA TERENGGANU – Bunga Kenanga akan diangkat sebagai bunga identiti Terengganu sama seperti dilaksanakan di negeri-negeri lain berdasarkan kesesuaian nilai simbolik serta penerimaannya dalam seni warisan negeri.

​Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Ahad berkata, cadangan dikemukakan oleh Kraftangan Malaysia Cawangan Terengganu itu turut mendapat sokongan tokoh-tokoh kraf tempatan.

Iklan
Iklan

​Menurut kenyataan itu, pemilihan Bunga Kenanga adalah bertepatan berdasarkan faktor sosiobudaya, nilai simbolik serta kesesuaian warisan tempatan merangkumi elemen masyarakat, budaya dan falsafah memandangkan ia amat sinonim dalam budaya masyarakat Melayu yang membentuk majoriti penduduk Terengganu.

​"Secara tradisional, bunga ini digunakan sebagai pewangi semula jadi, tanaman hiasan serta dalam amalan perubatan Melayu. Hal ini membuktikan bahawa Bunga Kenanga bukan sahaja bernilai estetika, malah mempunyai fungsi dan kedudukan tersendiri dalam kehidupan masyarakat.

Iklan

​"Selain itu, motif bunga Kenanga sememangnya telah digunakan dalam ukiran kayu dan seni hias bangunan seperti istana, masjid dan bangunan rasmi yang dihasilkan oleh pengukir Terengganu," katanya.

​Jelas kenyataan itu lagi, keanjalan bentuk kelopak Bunga Kenanga memudahkan adaptasinya dalam pelbagai bidang kraf warisan negeri meliputi tekstil (batik dan tenunan songket), hasil rimba (ukiran kayu dan anyaman) serta logam (pertukangan tembaga).

Iklan

​Keunggulan seni kraf warisan ini sekali gus mempertahankan reputasi Terengganu yang terkenal sebagai pusat kecemerlangan kraf sejak zaman pemerintahan Sultan Omar (1839–1876) sehingga pernah digelar 'Birmingham of the Peninsula'.

​Dalam pada itu, Kraftangan Malaysia memaklumkan inisiatif membangunkan produk berasaskan bunga identiti negeri merupakan strategi penjenamaan nasional, dengan motif berkenaan telah didaftarkan di bawah Akta Harta Intelek bagi memastikan perlindungan serta eksklusiviti reka bentuk.

​"Pembangunan motif Bunga Kenanga akan mewujudkan reka bentuk produk yang seragam dan mudah dikenali, memperkukuh daya saing di pasaran domestik mahupun antarabangsa, serta menjadi pemangkin inovasi dalam kalangan usahawan kraf menerusi gabungan warna tradisional seperti hijau, kuning dan emas bersama tona moden.

​"Dengan kewujudan 856 usahawan kraf berdaftar di Terengganu, pembangunan produk identiti negeri ini bersedia memenuhi permintaan pasaran pelancongan sekali gus memperkukuh ekosistem ekonomi kreatif negeri,"kata kenyataan tersebut.

Menurutnya lagi, ​langkah strategik ini turut diyakini mampu menyokong kejayaan Kempen Visit Malaysia 2026 yang menyasarkan kedatangan 43 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan RM147.1 bilion, serta Tahun Melawat Terengganu 2027.

​Ia berlandaskan rekod statistik sektor pelancongan negeri yang menunjukkan peningkatan pelancong domestik daripada 11.8 juta orang pada 2023 kepada 14.5 juta orang pada 2024, manakala kehadiran pelancong asing turut melonjak sebanyak 0.8 juta pada tahun 2024.

"​Pelaksanaan bunga kenanga sebagai simbol identiti negeri dijangka dapat memperkukuh penjenamaan Terengganu sebagai negeri berteraskan warisan dan budaya, meningkatkan pendapatan usahawan kraf dan sektor pelancongan.

"Selain itu, ia juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan baharu, seterusnya menjadikan Terengganu sebagai hab pengeluaran produk kraf beridentiti negeri,"katanya.