JOHOR BAHRU - Seramai 209 perempuan warga asing yang bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dan 13 penjaga premis hiburan berkas menerusi serbuan di 12 buah pusat hiburan di seluruh negeri itu pada Ahad.
Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad menerusi kenyataan berkata, operasi dijalankan bermula jam 2.15 pagi hingga 9 pagi itu dilaksanakan di seluruh negeri melibatkan kontinjen Ibu Pejabat Polis (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis (IPD) daerah.
Menurutnya, 13 lelaki ditahan itu melibatkan 10 warga tempatan dan tiga warga asing berusia 20 hingga 53 tahun.
“Bagi tangkapan GRO, ia melibatkan 93 wanita dari Vietnam, 87 orang dari Thailand, 11 wanita Laos, tujuh warga Indonesia, enam wanita Myanmar dan lima lagi dari Filipina.
“Semua wanita itu berusia 19 hingga 40 itu melakukan pelbagai kesalahan termasuk kesalahan imigresen,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Ab Rahaman berkata, mereka disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98 kerana melanggar syarat lesen hiburan atau sekatan yang ditetapkan.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c), Seksyen 55B dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63.
“Hasil semakan rekod lampau ke atas semua suspek, tujuh daripadanya memiliki rekod lampau melibatkan jenayah dan narkotik.
“Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan pula mendapati 44 suspek positif dadah,” katanya.
Jelas AB Rahaman, 13 tangkapan ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, manakala 209 lagi ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 bagi membantu siasatan lanjut.
Polis Kontinjen Johor tidak akan berkompromi dan sentiasa komited menangani isu yang melibatkan keselamatan serta ketenteraman awam bagi menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.