AMPANG JAYA - Seorang remaja perempuan etnik Rohingya berusia 12 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari rumah untuk membuang sampah di Jalan 26, Taman Putra, di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa kira-kira jam 8.51 malam, Sabtu.
Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Sumaiya Khatun Shokut Ullah, berusia 12 tahun tujuh bulan.
"Remaja terbabit keluar dari rumah untuk membuang sampah dan disedari hilang kira-kira jam 10 pagi pada 7 Ogos.
"Remaja terbabit mempunyai ketinggian kira-kira 165 sentimeter, berat 55 kilogram, berkulit coklat serta berambut hitam panjang paras dada," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, lokasi terakhir mangsa dikesan adalah di Jalan 26, Taman Putra, Ampang.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan IPD Ampang Jaya di talian 03-4289 7222.
"Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Saiful Shahfuzi Mohd Radzi di talian 019-320 2055," katanya.
Dalam pada itu, Khairul Anuar menasihatkan orang awam, khususnya ibu bapa dan penjaga, supaya sentiasa memantau pergerakan kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing.
"Jangan membenarkan mereka bersendirian dan segera hubungi pihak polis atau talian kecemasan MERS 999 sekiranya memerlukan bantuan," katanya.