GOMBAK - Seorang lelaki maut selepas motosikal dinaikinya terbabas ke dalam sungai di Jalan Gombak Lama di sini pada Ahad.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 1 pagi.
"Kemalangan melibatkan motosikal jenis Yamaha LC135 yang terbabas ke dalam sungai.
"Terdapat seorang lelaki tempatan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, mayat mangsa berjaya dibawa naik pada jam 2.10 pagi sebelum diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
Katanya, operasi dengan kekuatan tujuh anggota tamat pada jam 3.08 pagi.