Perairan Sabah diperkasakan, sindiket dadah tumpas

Iklan
Laporan muka depan Sinar Ahad.

EKSPLOITASI perairan dan pulau kecil di Sabah oleh sindiket dadah antarabangsa bukan lagi sekadar isu penyeludupan barangan haram, sebaliknya merupakan ancaman nyata terhadap keselamatan nasional.

Kejayaan membanteras jenayah ini tidak boleh bergantung kepada tindakan reaksi semata-mata, sebaliknya memerlukan strategi pencegahan dominan, pelaburan dalam aset pemantauan berteknologi tinggi serta ketegasan undang-undang demi memastikan perairan negara kekal selamat dan berdaulat.

Iklan
Iklan

Pendedahan eksklusif mengenai dinamika keselamatan maritim ini dinyatakan oleh Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Amran Ahmad.

Analisis trend penguatkuasaan memperlihatkan lonjakan ketara rampasan oleh JKDM daripada 612 kes bernilai RM152.91 juta (4,456.23 kilogram) pada tahun 2024 kepada 734 kes bernilai RM490.75 juta (7,832.14 kilogram) pada tahun 2025.

Iklan

Bagi tempoh lima bulan pertama tahun 2026 (Januari hingga Mei) pula, JKDM terus merekodkan kejayaan penting menerusi 193 kes dengan 27 tangkapan membabitkan rampasan seberat 2,651.32 kilogram bernilai RM189.05 juta.

Dari segi jenis bahan terlarang, methamphetamine dan ganja kekal menjadi rampasan utama JKDM, di samping peningkatan rampasan pil ekstasi yang mencecah nilai RM37.91 juta bagi tempoh awal tahun 2026 sahaja.

Iklan

Sementara itu, operasi Maritim Malaysia di zon laut mencatatkan lonjakan nilai rampasan luar biasa daripada RM983,550 pada tahun 2024 kepada RM25.98 juta pada tahun 2025, dan melonjak tajam kepada RM79.40 juta bagi tempoh Januari hingga Mei 2026.

Peningkatan nilai rampasan Maritim Malaysia yang melebihi 80 kali ganda dalam tempoh dua tahun ini disumbangkan terutamanya oleh kejayaan merampas kapal berkaliber besar yang digunakan oleh sindiket.

Modus operandi sindiket dikesan menggunakan struktur enam peringkat yang bermula daripada pembekal luar negara hingga penggunaan laluan laut tradisional menerusi bot gentian berkuasa tinggi atau bot pam.

Pulau kecil dan jeti terpencil di Semporna serta Tawau dijadikan titik serahan sementara bagi kaedah 'tinggal dan ambil' tanpa sebarang pertemuan fizikal antara pembekal dan penerima.

Rangkaian logistik tempatan seterusnya bertindak sebagai penghantar dan penyimpan bekalan sebelum dadah diedarkan untuk pasaran tempatan atau dieksport semula ke negara ketiga seperti Eropah, Oceania dan Asia Timur.

Mohd Rosli mendedahkan bahawa taktik berlapis ini sengaja direka bagi memutuskan rantaian bukti fizikal dan menyukarkan pengesanan keseluruhan operasi oleh pihak berkuasa.

Selain laluan laut, Amran pula menyatakan sindiket turut menggunakan taktik pemindahan kapal ke kapal (ship-to-ship transfer) di Selat Melaka, serta mengaburi pemeriksaan udara dan kurier melalui pengisytiharan palsu, syabu cecair bernilai RM169.83 juta dari Asia Barat dan keldai dadah.

Ancaman ini menjadi semakin meruncing apabila penyeludup bertindak agresif menggunakan senjata api, seperti insiden tembakan di Kunak pada 7 April 2024 yang mengakibatkan dua anggota Maritim Malaysia mengalami kecederaan parah.

Bagi menangani ancaman bersenjata tersebut, Maritim Malaysia telah melancarkan Prosedur Pengurusan Krisis Kawalan untuk memastikan tindakan balas pasukan berkuasa di lapangan adalah lebih tersusun dan bersepadu.

Secara keseluruhannya, JKDM dan Maritim Malaysia terus memperkasakan tindakan penguatkuasaan menerusi analisis risikan, teknologi digital dan kerjasama strategik global bagi melumpuhkan keseluruhan rantaian sindiket dadah rentas sempadan.