Korea Utara syor sup daging anjing ketika gelombang haba cecah 36.7 darjah Celsius

Iklan
Wanita menggunakan payung bagi melindungi diri daripada panas terik ketika berjalan di sepanjang Jalan Mirae Scientists, Pyongyang. Foto AFP

PYONGYANG – Korea Utara mengesyorkan rakyat mengambil sup daging anjing bagi membantu menghadapi gelombang haba yang melanda negara itu, ketika suhu mencatat rekod tertinggi 36.7 darjah Celsius.

Televisyen kerajaan melaporkan suhu berkenaan direkodkan pada Khamis, menjadikannya paras tertinggi sejak rekod cuaca mula direkodkan di negara itu.

Iklan
Iklan

Media kerajaan turut memberi perhatian khusus kepada tempoh paling panas dalam setahun yang dikenali sebagai sambok atau musim panas terik.

Antara cadangan yang diketengahkan ialah sup daging anjing, yang dianggap makanan tradisional dan dipercayai membantu tubuh menghadapi cuaca panas.

Iklan

Dalam artikel kesihatan yang diterbitkan akhbar rasmi Parti Pekerja Korea, Rodong Sinmun pada 2 Ogos, seorang doktor dari Hospital Besar Pyongyang mengesyorkan beberapa makanan untuk membantu menyejukkan badan seperti tembikai, timun dan kacang hijau.

Doktor itu turut menyenaraikan makanan berkhasiat seperti sup daging anjing, bubur ikan dan bubur kacang merah.

Iklan

Rodong Sinmun turut menerbitkan laporan khas mengenai sup daging anjing dengan mengaitkannya sebagai makanan tradisional ketika musim panas.

Laporan itu mengulangi kepercayaan tradisional bahawa hidangan berkenaan mampu membantu tubuh menghadapi cuaca panas.

Media kerajaan turut melaporkan satu pertandingan memasak hidangan daging anjing diadakan di negara itu pada awal tahun ini.

Selain sup daging anjing, Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) pada Rabu turut mengetengahkan samgyetang, iaitu sup ayam yang dimasak bersama ginseng, beras pulut dan buah jujube.

KCNA melaporkan restoran di Pyongyang menerima kunjungan pelanggan yang mahu mendapatkan makanan bagi membantu menghadapi cuaca panas.

Televisyen Korea Tengah pula menyiarkan beberapa segmen berkaitan penjagaan kesihatan ketika cuaca panas melampau, termasuk saranan mengambil minuman bagi mengelakkan dehidrasi serta panduan berenang dan melakukan aktiviti luar dengan selamat.

Setakat ini, Korea Utara belum mengeluarkan data mengenai kematian berkaitan gelombang haba berkenaan.

Sebaliknya, Korea Selatan melaporkan lebih 20 kematian yang dikaitkan dengan gelombang haba.- Agensi