PASIR SALAK – Seorang lelaki bersama pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM30,000 ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Teluk Saga di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak kira-kira jam 9.30 malam.
Menurutnya, serbuan di rumah di Kampung Gajah itu dilakukan selepas polis menerima maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
"Hasil pemeriksaan di ruang tamu rumah berkenaan, polis berjaya menahan seorang lelaki.
"Pemeriksaan lanjut di lokasi suspek ditahan menemukan sembilan peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki heroin dengan berat kasar 146.33 gram," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Hafezul berkata, turut dirampas enam peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki methamphetamine seberat 24.70 gram dan 17 keping aluminium foil mengandungi 170 biji pil disyaki Erimin 5 dengan berat kasar 53.38 gram.
Katanya, polis turut menemukan 41 peket plastik bergambar kartun yang setiap satunya mengandungi satu katrij vape berisi cecair disyaki mengandungi ketamin dengan berat kasar 360.80 gram atau isipadu dianggarkan 123 mililiter.
Jelas beliau, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM29,991.50.
Hafezul berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, polis turut menyita sebuah kereta Proton Waja, sebuah motosikal Honda RS150 serta wang tunai berjumlah RM3,372 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Suspek direman selama tujuh hari bermula 7 hingga 13 Ogos ini bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata, kejayaan berkenaan hasil kerjasama berterusan antara masyarakat dengan agensi penguatkuasaan, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan pembanterasan dipertingkatkan demi memastikan Perak bebas daripada jenayah berkenaan.