IPOH – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memasang perangkap dan meningkatkan pemantauan di kawasan kejadian selepas seorang lelaki Orang Asli dipercayai diserang harimau belang di Kampung Takung, Pos Perwor di sini.
Jabatan itu menerusi satu kenyataan memaklumkan aduan mengenai kejadian itu diterimanya pada kira-kira jam 4.30 petang Isnin sebelum pasukan anggota dari Pejabat Perhilitan Daerah Sungai Siput digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pencarian, pemeriksaan dan siasatan awal.
Menurutnya, operasi berkenaan turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk setempat.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki maut dibaham harimau ketika cari rotan
"Mangsa berusia 43 tahun ditemui di kawasan berhampiran jalan balak berdasarkan pemerhatian awal di lokasi.
"Pemeriksaan turut menemukan kesan pergelutan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian, manakala jarak antara lokasi itu dengan tempat mangsa ditemui dianggarkan kira-kira 200 meter," katanya pada Selasa.
Bagaimanapun, Perhilitan memaklumkan siasatan masih dijalankan bagi mengesahkan punca dan keadaan sebenar kejadian sebelum sebarang kesimpulan dibuat berdasarkan bukti diperoleh di lapangan.
Dalam pada itu, pasukan berkenaan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan bagi mengenal pasti tanda kehadiran harimau belang selain mendapatkan maklumat daripada penduduk setempat.
Perangkap turut dipasang di kawasan yang dikenal pasti sesuai sebagai sebahagian tindakan pengurusan susulan kejadian berkenaan.
"Jabatan Perhilitan menasihatkan penduduk di kawasan berhampiran supaya meningkatkan tahapkewaspadaan dan mengelakkan memasuki kawasan hutan atau kawasan yang dikenal pasti mempunyai tanda-tanda kehadiran harimau belang, khususnya secara bersendirian.
"Penduduk juga dinasihatkan supaya tidak menghampiri, mengejar, menangkap atau mengambil sebarang tindakan sendiri terhadap harimau yang mungkin telah dikesan," katanya.
Sebarang penampakan harimau, kesan tapak kaki, bunyi ngauman atau penemuan bangkai haiwan yang disyaki menjadi mangsa harimau hendaklah dilaporkan segera kepada Perhilitan di talian 1-800-88-5151.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang lelaki Orang Asli maut dipercayai diserang harimau belang ketika mencari rotan di kawasan hutan berhampiran Kampung Takung, Pos Perwor di sini pada Isnin.
Mangsa, Zamberi Angah, 42, ditemukan tidak bernyawa di kawasan rumpun buluh berhampiran jalan balak kira-kira 200 meter dari lokasi dipercayai berlakunya serangan.
Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama seorang rakannya masuk ke kawasan hutan dalam Hutan Simpan Korbu untuk mencari rotan.