Perak tawar peluang kemahiran dalam agrotek

Iklan
Khairudin (kanan) ketika sidang akhbar di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.

IPOH - Kerajaan Perak menawarkan pelbagai peluang kemahiran dalam bidang agro-teknologi kepada golongan belia dan komuniti menerusi program Jelajah AIM TVET with Cikgu Din yang bakal berlangsung di daerah Perak Tengah Sabtu ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, program berkenaan memberi tumpuan kepada sektor agro-teknologi moden selaras dengan keperluan sosioekonomi masyarakat di daerah berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara peluang yang disediakan termasuk kursus tanaman bawang Perak, hidroponik, baja organik serta kemahiran mengendalikan jentera pertanian seperti traktor dan backhoe.

"Lebih menarik, kursus berkaitan pengendalian jentera pertanian itu ditawarkan secara percuma termasuk peluang mendapatkan lesen, sekali gus membantu golongan muda mendapatkan kemahiran tanpa perlu menanggung kos tinggi jika mengikuti kursus secara persendirian.

Iklan

"Ini memberi ruang kepada mereka yang berminat dalam bidang pertanian untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan sebelum menceburi sektor berkenaan secara lebih moden dan sistematik," katanya ketika sidang media di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.

Khairudin berkata, Program Jelajah AIM TVET with Cikgu Din peringkat daerah Perak Tengah itu akan berlangsung di Dewan Terbuka Ngah Sagor, Parit, pada Sabtu dari jam 8 pagi hingga 4 petang.

Iklan

Menurutnya, program berkenaan menyasarkan kira-kira 1,000 pengunjung termasuk pelajar sekolah, belia serta komuniti setempat.

Beliau berkata, pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Pertanian Negeri Perak, Institut Pertanian Titi Gantong, Jabatan Perikanan, Jabatan Veterinar, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) akan menyediakan informasi berkaitan peluang pendidikan, latihan dan bantuan.

"Perak Tengah mempunyai ramai masyarakat yang terlibat dalam sektor pertanian termasuk pesawah, peladang, pekebun kelapa sawit dan tanaman kontan.

"Jadi, kita mahu pendekatan pertanian tradisional ini dapat ditambah baik kepada kaedah lebih moden dan sistematik supaya hasil serta pendapatan mereka dapat dipertingkatkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, program berkenaan turut menampilkan Pertandingan Laman Dapur dan Inovasi Pertanian membabitkan sekolah di daerah Perak Tengah.

Katanya, lima sekolah terbaik akan dibawa ke program berkenaan untuk penilaian akhir selain pameran dan demonstrasi kemahiran serta reruai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

"Program ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada TVET, tetapi membuka ruang kepada masyarakat mendapatkan maklumat secara terus mengenai kursus, kemahiran dan peluang kerjaya dalam bidang agro-teknologi.

"Kita mahu mengubah persepsi bahawa TVET adalah pilihan kedua kerana bidang kemahiran sebenarnya mempunyai ruang yang luas untuk melahirkan tenaga mahir dan menjana pendapatan," katanya.

Khairudin berkata, pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah membabitkan hadiah seperti kambing Boer, anak pokok durian premium Musang King dan Black Thorn serta set pertanian bandar.

Menurutnya, sebanyak 30 set hidroponik bernilai RM150 dan set penanaman bawang Perak serta set pertanian bandar individu bernilai RM50 turut disediakan menerusi inisiatif berkaitan.