BENTONG- Seorang pekerja syarikat kejuruteraan layak menerima Faedah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) selepas melecur teruk akibat letupan ketika membakar sampah di rumahnya di Felda Mempaga 2, di sini, 23 Jun lalu.
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memaklumkan, dalam kejadian jam 6.50 petang itu, Muhammad Muzaffarudin Hishammoden mengalami lecur teruk tahap tiga, akibat letupan ketika membakar sampah menggunakan minyak.
Menurutnya, ekoran kejadian, mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.
“Sebaik menerima laporan tersebut, Skuad PERKESO telah digerakkan untuk membantu mangsa memfailkan tuntutan faedah LINDUNG 24 Jam, berikutan kejadian bukan berkaitan pekerjaan.
“Mangsa merupakan pencarum aktif di bawah Akta 4 dan sebelum ini turut memilih untuk mencarum di bawah Skim LINDUNG 24 Jam, sekali gus melayakkan beliau menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS)," ujar PERKESO melalui kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya, bayaran FHUS berjumlah RM1,206 disalurkan sebagai gantian pendapatan selama dalam tempoh cuti sakit 67 hari bermula 23 Jun hingga 28 Ogos 2026.
"PERKESO akan terus meneliti keperluan bayaran tambahan FHUS sekiranya pegawai perubatan mengesahkan Muzaffarudin masih tidak berupaya kembali bekerja dan perlu melanjutkan tempoh cuti sakit.
"Kejadian ini membuktikan perlindungan di luar waktu kerja bukan lagi sekadar pilihan, sebaliknya keperluan kritikal bagi setiap pekerja bagi mengisi kelompangan perlindungan sedia ada sebelum ini yang sekadar terhad semasa waktu bertugas," ujarnya.
Tambah pertubuhan itu, susulan perluasan LINDUNG 24 Jam berkuat kuasa 1 Jun lalu, PERKESO setakat ini merekodkan purata permohonan faedah berikutan insiden di luar waktu bekerja sebanyak 49 kes sehari.
Sehubungan itu, PERKESO menyeru agar pekerja terus kekal mencarum di bawah Skim LINDUNG 24 Jam demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka sentiasa terjamin sebagai benteng kewangan apabila berdepan sebarang musibah di luar waktu kerja.