Kerosakan terumbu karang Pulau Redang: Kerajaan negeri panggil pengusaha bot, resort

Iklan
Gambar tular di media sosial yang mendakwa berlaku kerosakan terumbu karang di Pulau Redang akibat disebabkan tindakan melabuhkan sauh di kawasan larangan. Gambar kecil: Razali

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan memanggil semua pengusaha bot pelancongan dan resort menerusi satu Sesi Libat Urus Khas berhubung isu kerosakan terumbu karang di sekitar Pulau Redang yang dipercayai berpunca daripada aktiviti melabuh sauh di kawasan dilarang.

​Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, perjumpaan khas yang dijadualkan pada 26 hingga 28 Ogos ini turut melibatkan agensi penguat kuasa, persatuan pelancongan, penyelidik serta pihak berkepentingan.

Iklan
Iklan

​Menurutnya, sesi berkenaan diadakan bagi mengenal pasti punca sebenar dan meneliti kelemahan penguatkuasaan, selain menetapkan tindakan lebih tegas terhadap pihak yang melanggar peraturan.

​"Saya memandang serius laporan kerosakan terumbu karang ini terutamanya melibatkan bot day trip. Jika dakwaan ini terbukti benar, perbuatan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dikompromi," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Iklan

Terdahulu tular hantaran di media sosial memaparkan gambar terumbu karang yang rosak didakwa berpunca daripada aktiviti pelancongan.

Dalam perkembangan sama, ​Razali menjelaskan, usaha pemuliharaan oleh kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat yang memakan masa puluhan hingga ratusan tahun tidak sepatutnya dimusnahkan demi mengejar keuntungan semata-mata.

Iklan

​Beliau berkata, pihaknya akan mempertimbangkan kemungkinan semakan semula kebenaran operasi serta cadangan hukuman lebih berat kepada pengendali bot yang ingkar.

​"Pulau Redang adalah khazanah negeri dan warisan negara. Keuntungan industri pelancongan tidak boleh dibina dengan mengorbankan alam sekitar, dan semua pihak mesti memikul tanggungjawab memastikan ia kekal mampan,"ujarnya.