Pemuda Pas sasar 5,000 ahli baharu pertahan Kelantan

Iklan
Mohd Firdaus (berdiri) pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan Kali Ke-67 di Hotel H-Elite, Tunjong, Kota Bharu pada Jumaat.

KOTA BHARU - Pemuda Pas Kelantan menyasarkan 5,000 keahlian baharu dalam kalangan anak muda menjelang hujung tahun ini sebagai usaha memperkukuh sokongan dan jentera parti menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini.

Ketua Pemuda Pas Kelantan, Mohd Firdaus Mohamed Nawi berkata, tumpuan diberikan kepada pengundi muda berusia bawah 40 tahun menerusi gagasan 'Anak Muda Gu Kita’, selain mempergiat usaha melahirkan barisan kepimpinan muda untuk memperkasa kerajaan negeri dan Pas Kelantan.

Iklan
Iklan

"Para perwakilan turut mengambil ketetapan berkaitan pilihan raya yang menyentuh tentang penglibatan pemuda secara lebih serius untuk diangkat sebagai barisan kepimpinan dalam memperkasa kerajaan negeri dan Pas Kelantan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ketetapan itu dicapai menerusi Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan Kali Ke-67 di Hotel H-Elite, Tunjong, di sini pada Jumaat.

Iklan

Muktamar berkenaan dirasmikan Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dan melibatkan lapan wakil daripada setiap Pemuda Pas yang mewakili 14 kawasan di seluruh Kelantan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu muktamar turut meluluskan usul tergempar menyokong usaha Kerajaan Kelantan membentangkan dan meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan Syariah (Kelantan) 2026 pada Persidangan Dewan Negeri Kelantan, 11 Ogos ini.

Iklan

Mohd Firdaus berkata, pihaknya melihat usaha memartabatkan syariah dalam pentadbiran negeri sebagai satu keutamaan walaupun berdepan cabaran dan halangan daripada pihak berkepentingan.

Ujar beliau, usaha berkenaan membuktikan kerajaan negeri tidak pernah berputus asa mempertahankan kedaulatan undang-undang syariah selepas keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin pada 2024.

"Kerajaan negeri memilih pendekatan yang matang, berhemah dan berlandaskan lunas Perlembagaan dengan meneliti semula keseluruhan enakmen serta menggubal suatu Rang Undang-Undang yang lebih kukuh dari sudut perundangan," katanya.